SHAH ALAM - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) digesa supaya mengulang kaji sejarah asal-usul tanah air sebelum bertindak menasihati golongan anak muda mengenai kepentingan memahami sejarah negara.
Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan mendidik generasi muda perlu bermula dalam kalangan pemimpin PH sendiri agar tidak wujud amalan pengajaran sejarah secara selektif mengikut naratif politik tertentu.
Beliau ersetuju dengan pandangan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bahawa anak muda perlu memahami sejarah, namun beliau menegaskan pembentukan Malaysia tidak lahir dalam ruang kosong semata-mata pada tahun 1957 atau 1963.
"Jauh sebelum Merdeka, sudah wujud Tanah Melayu, Negeri-Negeri Melayu, Raja-Raja Melayu, kesultanan, adat, bahasa dan peradaban Melayu yang membentuk sejarah politik tanah ini.
"Hari ini, sesiapa yang memegang kewarganegaraan Malaysia ialah rakyat Malaysia dan perkara itu tidak dipertikaikan. Namun, mengiktiraf kewarganegaraan semua rakyat tidak bermakna kita perlu mengaburkan sejarah asal-usul negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kenyataan berkenaan dibuat bagi merespon laporan media berhubung nasihat Fahmi Fadzil yang menekankan supaya golongan anak muda di negara ini memahami sejarah tanah air.
Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan, hak kewarganegaraan yang sah bagi setiap rakyat Malaysia dan pengiktirafan terhadap akar sejarah, institusi serta identiti yang mendahului pembentukan Malaysia moden boleh dipertahankan secara serentak.
"Jangan ajar sejarah secara selektif, bahagian yang menguntungkan naratif politik disebut, manakala bahagian yang tidak selesa dipadam.
"Kewarganegaraan bukan alasan untuk memadam sejarah dan sejarah pula bukan lesen untuk menafikan kewarganegaraan sesiapa. Kedua-duanya boleh kita pertahankan serentak," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar 'kelas sejarah' dimulakan terlebih dahulu dengan sebahagian rakan-rakan pemimpin dalam PH sebelum sama-sama menasihati generasi muda.





