Keyfield beli kapal pengorek Inai Kenanga berharga RM99.7 juta, sasar 20% keuntungan daripada aktiviti bukan minyak dan gas

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keyfield beli kapal pengorek Inai Kenanga berharga RM99.7 juta, sasar 20% keuntungan daripada aktiviti bukan minyak dan gas Image from: Keyfield beli kapal pengorek Inai Kenanga berharga RM99.7 juta, sasar 20% keuntungan daripada aktiviti bukan minyak dan gas liza26/08/2026 - 18:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Keyfield International Berhad mengembangkan perniagaannya ke industri pengorekan menerusi pengambilalihan kapal pengorek mega Inai Kenanga pada harga AS$24.7 juta bersamaan kira-kira RM99.7 juta.

 

Pengambilalihan itu menjadi langkah penting dalam strategi kumpulan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas, selain memperluas sumber pendapatan menerusi aktiviti marin yang lain.

 

Inai Kenanga dibeli daripada Inai Rimba Sdn Bhd selepas Malayan Banking Berhad melantik penerima dan pengurus bagi syarikat itu pada Mac 2024.

 

Siap dibina pada 2016, Inai Kenanga ketika itu merupakan kapal pengorekan terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia dengan kapasiti ruang simpanan bahan yang dikorek sebanyak 32,205 meter padu.

 

Kapal itu direka untuk menjalankan kerja pengorekan berskala besar, penambakan tanah, kejuruteraan marin, projek infrastruktur serta pembangunan kawasan pantai.

 

Pembelian Pada Harga Jauh Di Bawah Nilai Pasaran

Menurut Keyfield, Inai Kenanga dibina pada kos dilaporkan sekitar RM1.2 bilion dan pernah digunakan dalam pelbagai kerja pengorekan di Malaysia, termasuk ketika tempoh konsesi selama 15 tahun bagi melaksanakan kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan persekutuan.

 

Nilai pasaran saksama kapal itu dianggarkan sebanyak AS$63.7 juta berdasarkan penilaian oleh penilai pasaran bebas, manakala kos untuk membina kapal baharu dengan spesifikasi yang sama dianggarkan melebihi AS$150 juta.

 

Ini bermakna Keyfield memperoleh kapal berkenaan pada harga AS$24.7 juta, jauh lebih rendah berbanding anggaran nilai pasaran serta kos pembinaan kapal baharu yang mempunyai spesifikasi sama.

 

Keyfield berkata pembelian itu akan dibiayai menggunakan wang tunai dalaman sebanyak AS$23.8 juta, manakala rakan kongsi strategiknya, Star Naval 1 Pte Ltd, akan menyumbang AS$900,000 serta menanggung anggaran AS$15 juta bagi kos mengaktifkan semula kapal.

 

Penggunaan wang tunai dalaman itu bermakna Keyfield tidak perlu membuat pinjaman bagi membiayai pengambilalihan Inai Kenanga.

 

Kerjasama Untuk Teroka Projek Pengorekan

Dalam perkembangan sama, Keyfield memeterai Perjanjian Pemegang Saham dengan Star Naval 1 Pte Ltd, sebuah syarikat yang dimiliki bersama Starhigh Asia Pacific Pte Ltd dan Naval Elite Limited.

 

Melalui syarikat tujuan khas yang bakal ditubuhkan, Keyfield akan memiliki 60% kepentingan manakala Star Naval 1 Pte Ltd memegang baki 40% dengan syarikat itu akan memiliki dan mengendalikan Inai Kenanga.

 

Kerjasama tersebut membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan kepakaran masing-masing bagi mendapatkan dan melaksanakan projek pengorekan, khususnya di Asia Tenggara.

 

Starhigh Asia Pacific Pte Ltd yang ditubuhkan pada 2006 merupakan pemain serantau dalam industri pengorekan dan bekalan pasir, dengan pengalaman projek di Singapura, Kemboja dan Semenanjung Malaysia.

 

Syarikat itu juga sedang meneroka peluang pengembangan di Malaysia Timur, Vietnam dan Taiwan selain mempunyai pengalaman dalam projek seperti peluasan Pulau Jurong di Singapura serta pembangunan dan penyelenggaraan saluran pelayaran di Pangkalan Bekalan Tok Bali, Kelantan.

 

t
Darren Kee Chit Huei

 

Kapal Dijangka Beroperasi Semula Pada 2027

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Keyfield, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata pengambilalihan Inai Kenanga merupakan langkah penting dalam usaha kumpulan memperluas perniagaan melangkaui sektor minyak dan gas.

 

Beliau berkata selepas proses pengaktifan semula kapal yang dijangka selesai pada 2027, Keyfield bersama Starhigh bercadang menyertai projek pengorekan di Asia Tenggara, terutama di Malaysia dan Singapura.

 

Menurutnya, Starhigh turut membawa rangkaian hubungan serta kepakaran industri yang dapat melengkapi keupayaan Keyfield dalam pemilikan dan pengoperasian aset marin.

 

“Permintaan terhadap kerja pengorekan dan bekalan pasir dijangka terus meningkat berikutan keperluan untuk penambakan tanah, pendalaman serta penyelenggaraan laluan air dan saluran pelayaran, pembangunan pelabuhan serta perlindungan kawasan pantai.

 

“Pembangunan seperti Pelabuhan Mega Tuas di Singapura menunjukkan potensi permintaan serantau, manakala hasrat Kementerian Pengangkutan membangunkan dasar baharu bagi menggalakkan pertumbuhan industri pengorekan dan penambakan di Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang kepada Kumpulan,” katanya.

 

Sasar Sumbangan 20% Daripada Aktiviti Bukan Minyak Dan Gas

Darren berkata pengambilalihan Inai Kenanga turut meneruskan strategi Keyfield untuk mendapatkan aset pada harga di bawah nilai pasaran, seperti yang pernah dilakukan ketika kumpulan mula membina armada kapal sokongan luar pesisir.

 

Beliau berkata strategi itu membolehkan Keyfield membina armada kapal sokongan luar pesisir yang lebih moden dengan spesifikasi tinggi pada perbelanjaan modal yang munasabah, dan kumpulan melihat peluang yang sama menerusi pengambilalihan Inai Kenanga.

 

Keyfield sebelum ini turut mengembangkan perniagaan bukan minyak dan gas menerusi pengambilalihan Keyfield Blessing, sebuah tongkang pemasangan kabel yang kini disewa untuk operasi di Timur Tengah.

 

Menurut Darren, kemasukan ke industri pengorekan akan mempercepatkan perubahan Keyfield daripada penyedia kapal sokongan luar pesisir yang tertumpu kepada sektor minyak dan gas kepada penyedia perkhidmatan marin pelbagai segmen.

 

Dalam jangka panjang, Keyfield menyasarkan aktiviti bukan minyak dan gas menyumbang sehingga 20% daripada jumlah keuntungan kumpulan, selain meneruskan strategi kepelbagaian geografi menerusi projek di Timur Tengah, Thailand dan berpotensi di negara lain di rantau ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved