liza30/07/2026 - 10:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – Keyfield International Bhd berdepan saman daripada sebuah syarikat broker kapal berpangkalan di Dubai yang mendakwa kumpulan itu gagal membayar komisen bagi penjualan sebuah kapal, namun syarikat itu menegaskan akan mempertahankan tuntutan tersebut.
Keyfield berkata saman itu difailkan oleh MVS Marine Services FZCO terhadap anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Resolute Sdn Bhd (KRSB) serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Kee Chit Huei.
“MVS menuntut bayaran sebanyak AS$1.84 juta daripada KRSB dan Kee yang didakwa mewakili komisen sebanyak lima peratus bagi urus niaga penjualan kapal Keyfield Compassion.
“Syarikat broker itu turut memfailkan tuntutan berasingan terhadap pembeli kapal, Petro Laut Sdn Bhd bagi mendapatkan AS$1.1 juta yang didakwa bersamaan komisen sebanyak tiga peratus daripada transaksi sama,” kata Keyfield dalam makluman tersebut.
Kes itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 18 Ogos ini, selain MVS turut menuntut ganti rugi am, faedah serta kos guaman.
Tuntutan Alternatif Bernilai RM12.24 Juta
Sebagai alternatif kepada tuntutan komisen tersebut, MVS turut memohon bayaran sebanyak AS$2.94 juta (RM12.24 juta) berasaskan prinsip ‘quantum meruit’ (bayaran munasabah bagi perkhidmatan yang didakwa telah diberikan walaupun tiada perjanjian bertulis).
Kapal Keyfield Compassion telah diserahkan kepada Petro Laut Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Mashhor berpangkalan di Brunei, pada 20 Februari lalu.
Bagaimanapun, Keyfield menegaskan tiada sebarang perjanjian broker pernah ditandatangani antara MVS dan KRSB bagi urus niaga penjualan kapal Keyfield Compassion.
Syarikat itu turut menyifatkan tuntutan yang dikemukakan oleh MVS sebagai tidak berasas dan menyusahkan (frivolous and vexatious).
Menurut Keyfield, MVS juga sedang meneruskan tuntutan berkaitan penjualan sebuah lagi kapal yang tidak melibatkan Keyfield, KRSB atau mana-mana entiti dalam kumpulannya.
Keyfield Akan Pertahan Kepentingan Syarikat
Sehubungan itu, Keyfield berkata syarikat akan mengambil semua langkah yang sewajarnya bagi mempertahankan kepentingannya dalam prosiding mahkamah tersebut.
Buat masa ini, syarikat berpandangan saman berkenaan tidak akan memberi kesan material terhadap operasi dan kedudukan kewangannya sementara proses undang-undang berjalan.
Keyfield bagaimanapun akan terus memberikan kerjasama sepanjang prosiding mahkamah dan memaklumkan sebarang perkembangan penting berkaitan kes tersebut dari semasa ke semasa mengikut keperluan Bursa Malaysia. - DagangNews.com






