KGW Group, Mingkun dari China perkukuh khidmat logistik ke pasaran AS

LocalBusiness & Finance
16 Jun 2025 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KGW Group, Mingkun dari China perkukuh khidmat logistik ke pasaran AS

image is not available

16/06/2025 - 10:47

KUALA LUMPUR 16 Jun - Penyedia logistik trans-Pasifik terbesar Malaysia, KGW Group Bhd, memperkukuh lagi kehadirannya di pasaran Amerika Syarikat (AS) menerusi usaha sama dengan Mingkun International Logistics Ltd dari China.

Strategi itu dibuat untuk mengambil peluang daripada perpindahan kilang dari China ke Malaysia akibat tarif tinggi AS.

Ketua Pegawai Eksekutif KGW Group, Roger Wong berkata, usaha sama tersebut sudah ditubuhkan, dengan syarikat memegang saham kecil bagi membantu Mingkun mengembangkan operasi logistik di Malaysia.

"Kami sedar banyak syarikat China berpindah ke Malaysia untuk mengelak tarif tinggi.

"Syarikat-syarikat ini memerlukan perkhidmatan lengkap, bukan saja penghantaran laut dan udara, tapi juga trak dan urusan kastam," katanya kepada SunBiz.

Beliau menjelaskan, usaha sama dengan Mingkun bertujuan untuk menyediakan rumusan logistik lengkap kepada pengilang dari China yang beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata, selain pasaran tempatan, KGW Group juga merancang untuk mengembangkan operasinya ke Thailand, Indonesia dan Vietnam bagi mengukuhkan rangkaian penghantaran barangan dari rantau ini ke AS, termasuk bagi penghantaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan e-dagang (B2C).

Pada Februari lalu, syarikat dari AS, Accelerated Global Solutions Inc (AGS), membeli 15% saham dalam KGW Group.

Wong berkata, kerjasama itu membantu mempercepat pertumbuhan KGW Group dalam sektor e-dagang ke pasaran AS melalui rangkaian penghantaran akhir SpeedX, yang kini beroperasi bersama pasukannya.

"Hampir 60% hasil KGW Group datang dari pasaran AS. Kos penghantaran satu kontena kini mencecah sehingga RM33,968 berbanding RM8,492 sebelum ini.

"Malah ada masanya, kos tersebut lebih mahal daripada nilai barang dalam kontena itu sendiri," jelasnya.

Beliau menambah, tarif rendah Malaysia serta peraturan baharu berkaitan sijil asal produk menjadikan negara ini lebih menarik kepada pengeksport dari China.

KGW Group turut merancang untuk memperluas perkhidmatan kargo udara dan rumusan e-dagang khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan sokongan AGS.

Menurut Wong, rangkaian penghantaran akhir SpeedX yang luas di AS akan membantu pengeksport dari Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia menghantar terus produk mereka kepaa pelanggan di AS. - DagangNews.com

standard