Jati Tinggi raih kontrak RM161.45 juta dari TNB salur bekalan elektrik ke pusat data di Johor

29/05/2025 - 11:35
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 29 Mei - Jati Tinggi Group Bhd, memenangi kontrak bernilai RM161.45 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membangunkan sambungan bekalan elektrik utama ke sebuah pusat data di Johor.
Jati Tinggi berkata, projek itu merangkumi pembinaan sambungan transmisi baharu 275kV, penyambungan sistem kawalan, naik taraf dan penyesuaian semula sistem sedia ada.
"Kontrak ini diberikan kepada usaha sama tidak diperbadankan antara anak syarikat milik penuh Jati Tinggi, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (JTH) dan Idiqa Holding Sdn Bhd.
"Dalam usaha sama ini, JTH memegang 70% kepentingan, manakala Idiqa memegang baki 30% kepentingan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Menurut Jati Tinggi, projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh 540 hari. - DagangNews.com
standard
