Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memerintahkan pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq, membayar sebanyak RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, selepas didapati bersalah memfitnah beliau berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Khairy selaku plaintif pada 25 Januari 2022. Saman itu turut melibatkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai defendan kedua.
Kes saman tersebut berkisar kepada beberapa kenyataan dalam talian yang dibuat antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022, ketika Khairy menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia semasa pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 peringkat nasional.
- DAP Pahang nak jadi orang tengah, bantu pekebun durian haram runding dengan kerajaan
- ‘Saya nak capai KPI’ – Lelaki didakwa guna data pelajar UniSZA untuk daftar pelaburan emas
- ‘Angkuh dan jahil!’ – Anwar tempelak Bill O’Reilly hina Asia Tenggara
- Isu ceroboh tanah yayasan anak yatim, kuil Sri Dewi Mariamman setuju berpindah
- Bendera lambang maruah negara, jangan ambil mudah kesilapan – Anwar
Menurut tuntutan yang difailkan melalui firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli, Khairy memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan serta ganti rugi teruk, selain perintah supaya defendan memadam semua hantaran dan membuat permohonan maaf terbuka di media sosial dan portal berita utama.
Difahamkan, pada 16 Januari 2022, Khairy telah mengemukakan tuntutan awal kepada kedua-dua defendan namun gagal dipatuhi, menyebabkan tindakan saman diteruskan di mahkamah.
Dalam satu hantaran sebelum ini, Abu Syafiq menyatakan kesediaannya untuk memadam semua video dan kenyataan berkaitan isu vaksinasi yang menyentuh nama Khairy. Namun, ia tidak menghalang prosiding mahkamah daripada diteruskan.
Bagi Lokman Noor Adam pula, kes saman terhadap beliau telah diselesaikan secara baik pada 15 April 2024. Beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari dan turut membayar pampasan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Keputusan mahkamah ini dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa penyebaran maklumat tidak sahih dan berunsur fitnah, khususnya berkaitan kesihatan awam, boleh membawa kesan perundangan yang serius.
Sumber: Sinar Harian
The post Khairy menang saman fitnah vaksin, Abu Syafiq diperintah bayar RM2.5 juta appeared first on The Reporter.
