Anak kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tampil mempersoalkan kenyataan berhubung peletakan jawatan bapanya, termasuk sama ada keputusan tersebut dibuat atas arahan parti.
Menerusi hantaran di Instagram, Naim Ismail mempersoalkan tindakan pihak tertentu mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan bapanya, sedangkan perkara itu didakwa bukan diumumkan sendiri oleh Ismail.
“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?” soalnya.
Menurut Naim, bapanya selama ini telah mematuhi segala arahan parti, namun beliau meluahkan kekecewaan apabila situasi tersebut berakhir dengan kemelut berkenaan.
Malah, beliau turut memberi peringatan agar tiada pihak menjadikan individu lain sebagai kambing hitam demi kepentingan tertentu.
“Belum apa-apa selesai dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri. Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam.
“Kalau betul nak menjaga parti, jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ini,”luahnya.
Naim turut mendakwa semua pihak mengetahui perkara sebenar yang berlaku dan mengingatkan agar tidak menggambarkan seolah-olah hanya satu pihak yang bersalah.
Terdahulu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Ismail telah mengutus surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkuat kuasa Isnin.
Bagaimanapun, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sebelum ini menjelaskan pihaknya hanya mengetahui hasrat Ismail untuk berundur menerusi kepimpinan tertinggi parti, bukannya daripada beliau sendiri.
Sumber: Kosmo! Online ( Nor Shafawati Yup)







