Khuzaire anak jati Rembia, tekad khidmat untuk semua

LocalPolitics
9 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Khuzaire anak jati Rembia, tekad khidmat untuk semua

MELAKA: Pengalaman membesar dalam keluarga yang pernah berdepan kesusahan hidup menjadi antara pendorong calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal Kannan untuk memperjuangkan peluang pekerjaan, pendidikan dan kebajikan penduduk kawasan itu.

Anak jati Rembia berusia 42 tahun itu berkata, pengalaman tersebut membolehkan beliau memahami cabaran kehidupan masyarakat setempat, selain mempunyai hubungan rapat dengan penduduk kerana membesar dan mendapat pendidikan awal di Rembia.

“Saya mengambil keputusan bertanding di Rembia disebabkan DUN Rembia ini sinonim dengan keluarga saya. Majoriti ramai yang kenal keluarga saya dan latar belakang saya.

“Penduduk masyarakat di DUN Rembia ini dekat dengan saya kerana saya sekolah di sini dan rakan-rakan di sini,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

PELUANG PEKERJAAN JADI TUMPUAN

Mengulas perancangannya untuk Rembia, Mohd. Khuzaire berkata, usaha menarik pelabur berskala besar ke Kawasan Pe­rindustrian Kelemak menjadi antara keutamaannya bagi me­rancakkan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

Menurutnya, kawasan perindustrian berkenaan mempu­nyai potensi untuk dibangunkan de­ngan lebih pesat tetapi memerlukan kemasukan pelabur yang mampu menyediakan peluang pekerjaan dengan tawaran pendapatan lebih tinggi.

“Isu-isu utama adalah peluang pekerjaan sebenarnya. Jika kita lihat, ramai anak-anak muda lebih menggemari contohnya pekerja gig.

“Ramai anak-anak muda di sini banyak buat Grab berban­ding kerja kilang ataupun kerja di pejabat.

“Saya tekankan di Rembia ada industri Kelemak tetapi dia tidak pesat macam di bandar. Sini lebih kepada industri yang pertengahan,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan pelabur yang mampu menawar­kan gaji permulaan lebih tinggi, sebagai contoh RM2,500 berbanding kadar gaji minimum RM1,700, boleh menjadi antara tarikan kepada golongan muda untuk menyertai sektor perindustrian.

Katanya, usaha membawa masuk pelaburan juga memerlukan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan kementerian berkaitan, termasuk dalam urusan pembangunan industri serta kelulusan pelaburan.

Image from: Khuzaire anak jati Rembia, tekad khidmat untuk semua
MASA depan golongan muda Rembia menjadi perhatian Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal Kannan terutamanya yang kurang berkemampuan.

SIFAR KEMISKINAN, PENDIDIKAN

Dalam aspek kebajikan, beliau turut meletakkan sasaran sifar kemiskinan di Rembia de­ngan memberi perhatian kepada keluarga yang memerlukan bantuan termasuk mereka yang tinggal di kawasan kampung.

Tambahnya, pendidikan juga perlu diberikan keutamaan ke­rana terdapat anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian.

“Isu pendidikan perlu diketengahkan kerana ramai dekat sini anak-anak dari keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan. Sehingga ada yang dapat tawaran luar negara, tidak dapat pergi.

“Jadi jika kita diberi mandat, saya sekali lagi saya cakap, saya kata kalau mana-mana anak-anak khususnya di DUN Rembia ini, kita akan cuba sedaya upaya bantu mereka jika tidak ada kemam­puan kewangan.

“Itu sebabnya kita perlu menang di Melaka kerana Kerajaan Negeri Melaka mesti selari dengan Kerajaan Persekutuan supaya senang Kerajaan Persekutuan untuk menyalur bantuan-bantuan kewangan kepada anak-anak untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Katanya, sekiranya diberikan mandat pada kali ini, pusat khid­matnya akan dibuka kepada semua penduduk tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik bagi memastikan bantuan dan perkhidmatan tidak diberikan secara pilih kasih.

Mohd. Khuzairi turut merancang mengadakan perjumpaan berkala serta membuka kaunter khidmat bergerak di setiap lokaliti pada setiap minggu supaya penduduk lebih mudah mengemukakan aduan tanpa perlu datang ke pusat khidmat.

“Setiap aduan yang diterima perlu disusuli tindakan dan pemantauan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN 

The post Khuzaire anak jati Rembia, tekad khidmat untuk semua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved