Kinergy Advancement terima kontrak RM646 juta bagi projek loji kuasa 120MW di Labuan

19/05/2025 - 18:37
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 19 Mei – Kinergy Advancement Berhad (KAB) bersama Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd (Sinohydro) menerima kontrak daripada Rancha Power Sdn Bhd (RPSB) bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kemudahan loji kuasa berkapasiti 120MW di Labuan.
Kontrak yang dijangka bermula pada 20 Mei 2025 sehingga siap sepenuhnya termasuk tempoh jaminan. Projek tersebut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan KAB dan memperkukuh kepakaran teknikal dalam membina infrastruktur tenaga kompleks.
RPSB merupakan sebuah syarikat usaha sama antara PG Energia Sdn. Bhd. (anak syarikat Petronas Gas Berhad), Sustainable Power Sdn. Bhd. (anak syarikat Sabah Electricity Sdn. Bhd.), dan SEC Power Sdn. Bhd. (anak syarikat Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd.).
Pengarah Urusan KAB berkata, projek ini adalah sejajar dengan kepakaran kumpulan dalam penyelesaian tenaga mampan serta menegaskan keyakinan syarikat terhadap kemampuan KAB dan Sinohydro dalam melaksanakan projek itu.
"Kontrak ini adalah hasil proses bidaan kompetitif dan menandakan keupayaan kami untuk mengendalikan projek-projek berteknologi tinggi di sektor tenaga.
"Kami menjangkakan projek ini akan menambah baik prestasi kewangan dan kedudukan KAB sebagai peneraju rumusan tenaga lestari," katanya dalam satu kenyataan.
Kontrak tersebut tidak akan memberi kesan terhadap jumlah modal saham KAB mahupun pemegangan saham pemegang saham utama.
Ia tidak akan memberi impak material kepada aset bersih, hasil sesaham, dan kadar penggayaan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, namun diharap menyumbang secara positif pada masa hadapan.
Penerimaan LOA tersebut tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau badan pengawal selia. Tiada pengarah, pemegang saham utama, atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.- DagangNews.com
standard
