KIP REIT beli pusat beli-belah DPulze Cyberjaya pada harga RM320 juta
herman
27/05/2024 - 16:02
KUALA LMPUR 27 Mei - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mengumumkan pembelian Pusat Beli-Belah DPulze yang terletak di Cyberjaya pada harga RM320 juta.
Pembelian gedung perniagaan tujuh tingkat itu bakal memperbesarkan jumlah asetnya di bawah pengurusannya (AUM) kepada RM1.4 billion.
Menurut KIP REIT, pengambil alihan itu yang dijangka selesai pada suku pertama 2025 akan dibiayai menerusi pinjaman bank dan hasil daripada penempatan persendirian.
Majlis menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan DPulze Ventures diadakan di KIP Hotel, Kuala Lumpur hari ini.
Pusat Beli-Belah DPulze mempunyai kawasan lantai kasar sebanyak 895,675 kaki persegi. Ia menempatkan pelbagai jenis penyewa merangkumi pasar raya, ruang runcit, pawagam, pusat kecergasan, dan pusat hiburan.
"Pembelian yang dicadangkan ini melalui gabungan pinjaman bank dan penempatan persendirian, membolehkan KIP REIT mengekalkan tahap nisbah gearing yang sihat, serta mengekalkan ruang tunai yang mencukupi untuk pembelian hartanah masa depan.
"Penempatan persendirian yang dicadangkan, yang diumumkan serentak dengan pembelian ini, dijangka mengumpulkan hasil kasar sehingga RM146.7 juta, melalui pengeluaran 180.0 juta unit penempatan," katanya.
Berdasarkan laporan dan penilaian oleh Nawawi Tie Leung Property Consultants Sdn Bhd bertarikh 22 April 2024, Pusat Beli-Belah DPulze dinilai pada RM321.0 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan, berkata, membeli Pusat Beli-Belah DPulze yang menjadi pembelian terbesar hingga kini dan merupakan pencapaian penting bagi KIP REIT.
"Dengan kadar sewaan 100%, penambahan strategik ini kepada portfolio kami tidak hanya meningkatkan kehadiran kami dalam sektor peruncitan tetapi juga menyediakan KIP REIT dengan pendapatan stabil bagi jangka panjang yang akan menghasilkan pulangan menarik untuk pemegang unitnya.
“Setelah pembelian ini dilengkapkan, AUM (aset di bawah pengurusan) kami akan meningkat mendekati nilai RM1.4 bilion.
“Kami yakin pembelian ini akan memperkukuhkan kedudukan pasaran KIP REIT dan memberikan pertumbuhan yang mampan yang sejajar dengan sasaran untuk mencapai jumlah AUM keseluruhan sebanyak RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang,” ujarnya. - DagangNews.com



