SHAH ALAM - Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli, mendahului pencabarnya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Berdasarkan kiraan semasa, Mohd Faizal memperoleh 1,652 undi berbanding Aminuddin yang meraih 803 undi, manakala calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said dengan 69 undi.
Setakat jam 7 petang, calon BN terbabit telah mendahului dengan majoriti 849 undi selepas sembilan daripada 42 saluran selesai dikira.
Perkembangan itu dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Aminuddin meninggalkan kerusi tradisinya di DUN Sikamat dengan bertanding di Linggi pada PRN Negeri Sembilan.
Aminuddin berdepan saingan daripada calon BN yang juga penyandang, Mohd Faizal Ramli dan calon Bersatu, Zamri yang turut bertanding buat kali kedua di DUN tersebut.
DUN Linggi merupakan kubu kuat BN dan pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di Dun tersebut dengan memperoleh 7,832 undi menewaskan Zambri dengan 6,371 undi, yang ketika itu bertanding menggunakan logo PN.


![[TIDAK RASMI] PRN Negeri Sembilan: BN-PN menang 25 DUN](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/01/3602380.webp)



