PRN N. Sembilan: SPR laksana projek rintis OCR-VA

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN N. Sembilan: SPR laksana projek rintis OCR-VA

SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan projek rintis sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi atau Optical Character Recognition-Voter Attendance (OCR-VA) pada Pilihan Raya Ne­ge­ri (PRN) Negeri Sembilan.

Ia bertujuan merekodkan kehadiran pengundi secara digital sekali gus mengelak kesilapan seperti tersalah memangkah nama oleh petugas di pusat mengundi.

Pengerusi SPRM, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, projek rintis itu antara langkah awal ke arah pelaksanaan sistem pengundian elektronik (e-voting) pada masa hadapan.

Beliau berkata, sebagai permulaan, projek itu hanya melibatkan saluran satu hingga tujuh pusat mengundi di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

Katanya, sistem berkenaan menggunakan telefon bimbit di bilik mengundi untuk mengimbas kad pengenalan pengundi semasa proses pendaftaran.

“Ia hanyalah projek rintis yang merupakan satu kaedah pendaftaran kehadiran. Maklumat itu dikemaskini real-time. Bukan setakat jumlah undi yang keluar, nama, jantina dan umur pengundi.

“Sebelum ini secara manual, terdedah kepada kesilapan, se­perti tersalah memangkah nama oleh kerani di pusat mengundi.

“Malah, sistem pendaftaran digital (OCR-VA) ini telah digunakan di banyak negara,” katanya selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor di Ampangan di sini, semalam.

Mengulas pemilihan lokasi, Ramlan berkata, ia dipilih kerana mempunyai komposisi pengundi yang pelbagai, termasuk warga emas, golongan muda dan pengundi daripada pelbagai latar belakang.

Pelaksanaan e-voting dijangka membantu SPR menjimatkan berjuta wang negara bagi mengadakan pelbagai pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum (PRU), PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) di seluruh negara.

SPR membelanjakan lebih RM90 juta untuk mengadakan PRN Johor dan lebih RM80 juta bagi PRN Negeri Sembilan. Bagi PRU15, SPR membelanjakan lebih RM1 bilion.

Bagi PRK pula, SPR membe­lanjakan sebanyak RM4.5 juta untuk PRK Pulai pada 2023, PRK Kemaman (2023) (RM3.5 juta) dan PRK Tioman (2022) (RM3 juta).

Ramlan berkata, sistem ber­kenaan belum dilaksanakan se­penuhnya kerana penelitian perlu dibuat bagi mendapatkan dapatan daripada projek rintis tersebut.

“Daripada dapatan yang diperoleh hari ini, kita akan mendapatkan maklumat secara lebih terperinci.

“Selepas ini, kita akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan. Kita tidak akan melaksanakan­nya tanpa mendapatkan pan­dangan daripada pihak ber­kaitan,” katanya.

Difahamkan, pengundian menggunakan sistem OCR-VA telah dilaksanakan di beberapa negara lebih 20 tahun lalu antaranya Australia, Belgium, Brazil, Estonia, Perancis, Jerman, India, Itali, Namibia, Belanda, Norway, Peru dan Switzerland. – MINGGUAN

The post PRN N. Sembilan: SPR laksana projek rintis OCR-VA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved