Kisah penyewa pernah dibantu Anzalna Nasir tular gara-gara luahan owner rumah- 'Jahat ke aku? Bil api cecah RM3,000, air dipotong'

28 Apr 2026 • 3:18 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Kisah penyewa pernah dibantu Anzalna Nasir tular gara-gara luahan owner rumah- 'Jahat ke aku? Bil api cecah RM3,000, air dipotong'

APABILA kebaikan yang dihulur akhirnya dibalas dengan beban yang tidak dijangka.

Lebih menyentuh hati, apabila situasi itu melibatkan soal tempat berteduh, keperluan asas dan nasib anak-anak kecil yang tidak berdosa.

Itulah yang dikongsikan oleh seorang wanita, pemilik sebuah kediaman sewa, yang akhirnya meluahkan rasa hati selepas sekian lama memendam sabar.

Dalam nada yang jujur dan sarat emosi, dia mempersoalkan tindakannya sendiri, antara terus bertahan atau mengambil keputusan tegas demi masa depan.

“Jahat ke aku sebagai owner rumah kalau aku halau penyewa dari ‘neraka’ ni…

“Bil api tertunggak sampai RM3,000, bil air sampai dah kena cabut meter. Penyewa ni pernah viral sebab Anzalna Nasir tolong dia bagi keperluan anak-anak dia… haihhhhh.

“Ni lah jadi kalau dah terlebih baik bagi muka kat orang,” tulis individu yang dikenali sebagai ecahrazali92 di laman Threads miliknya.

Lebih meruntun hati, pemilik rumah itu mendedahkan bahawa apa yang dikongsikan hanyalah keadaan di bahagian luar kediaman, sedangkan keadaan sebenar di dalam rumah masih belum diketahui.

“Ni belum tengok dalam rumah lagi… kita call tak angkat, kita WhatsApp dia saja tak buka…

“Setahun bersabar… lepas pergi baitulmal hari tu minta pendapat, memang baitulmal kata halau.

“Untuk pengetahuan, rumah dia baitulmal yang bayarkan,” kongsinya lagi, menggambarkan situasi yang semakin sukar dikawal.

Perkongsian tersebut pantas menarik perhatian ramai, termasuk Anzalna Nasir sendiri yang sebelum ini pernah membantu penyewa berkenaan.

Image from: Kisah penyewa pernah dibantu Anzalna Nasir tular gara-gara luahan owner rumah- 'Jahat ke aku? Bil api cecah RM3,000, air dipotong'

Pelakon itu turut memberikan respon dengan pendekatan yang cukup berhemah, memilih untuk tidak membuka aib mana-mana pihak.

Menurut Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, dia mengenali individu tersebut, namun enggan mendedahkan identiti mereka demi memberi ruang untuk perubahan.

“Sebenarnya dah boleh agak rumah siapa, tapi biarlah kekal rahsia. Kita jaga aib mereka dan beri ruang untuk mereka baiki serta pulihkan keadaan.

"Tuan rumah tidak bersalah. Kami sudah cuba membantu mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, isteri kepada Hanif Zaki itu tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya terhadap nasib anak-anak kecil pasangan berkenaan, golongan yang paling terkesan dalam situasi seperti ini.

“Dalam keadaan seperti ini, yang paling difikirkan adalah anak-anak kecil. Sebab itu, setiap bantuan Anzalna lebih diutamakan untuk anak-anak supaya cukup makan dan pakai.

“Tidak semua orang mampu berterus terang tentang keadaan sebenar mereka.

“Semoga anak-anak kecil mereka sentiasa dilindungi,” titipnya lagi.

Kisah ini kemudiannya menjadi perbualan hangat dalam kalangan warganet.

Rata-rata meluahkan simpati terhadap pemilik rumah, dalam masa yang sama memahami dilema yang dihadapi, antara rasa kemanusiaan dan tanggungjawab sebagai pemilik hartanah.

Image from: Kisah penyewa pernah dibantu Anzalna Nasir tular gara-gara luahan owner rumah- 'Jahat ke aku? Bil api cecah RM3,000, air dipotong'

Ada yang berpendapat tindakan tegas perlu diambil demi mengelakkan kerugian lebih besar, sementara ada juga yang menasihatkan agar proses itu dilakukan dengan penuh hikmah.

“Ni yang orang kata malang tak berbau… I feel sorry for you. Nak halau penyewa yang tak bertanggungjawab ni pun satu cabaran, lepas ni kena hadap hutang dan kerosakan pula. Keep calm and be strong.”

“Kadang kita bukan jahat, tapi orang ambil kesempatan. Kalau ini yang terbaik, buat saja… ambil hak awak.”

“Siapa yang kata awak kejam, suruh mereka bayar semua tunggakan dulu, kemudian baru bercakap soal simpati.”

Dalam hiruk-pikuk reaksi ini, satu perkara yang jelas, kebaikan tanpa batas juga ada risikonya.

Dalam membantu, sempadan tetap perlu ada dan dalam setiap keputusan yang diambil, pasti ada hati yang terluka, namun kadangkala itu harga yang perlu dibayar demi keadilan dan kelangsungan hidup sendiri.