'Kita tak maki polis, tapi polis ini seperti dilaga-lagakan oleh pihak tertentu' - ADUN Melor

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 8:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kita tak maki polis, tapi polis ini seperti dilaga-lagakan oleh pihak tertentu' - ADUN Melor
Wan Rohimi memberi keterangan lebih satu jam bermula jam 5 hingga 6.30 petang di IPD Kota Bharu pada Isnin. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - "Saya dah jelaskan pada polis (pegawai penyiasat), jangan kecil hati. Kita tak maki polis, tetapi polis ini seperti dilaga-lagakan oleh pihak tertentu."

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud selepas selesai memberi keterangan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis ketika menjalankan tugasan sekatan jalan raya (SJR) semasa ‘Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB YB’ anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Pemuda Pas Kelantan.

Beliau memberi keterangan lebih satu jam bermula dari jam 5 hingga 6.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini pada Isnin.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan penyiasat kerana mengendalikan siasatan dengan penuh profesional.

"Apa yang ditanya oleh pihak polis ialah laluan-laluan konvoi. Saya jelaskan laluan itu, dan memang semua orang tahu laluan ini, bukan rahsia.

"Selepas keluar Masjid Muhammadi, kami ke PCB (Pantai Cahaya Bulan). Sampai di Klinik Kesihatan Badang, kami mengambil kanan ke Taman Buaya. Dari Taman Buaya, kami mengambil kanan ke Perkuburan Semut Api, kemudian melalui Kampung Telok dan keluar di belakang Kem 506 Rejimen Askar Wataniah, betul-betul bertentangan LTSIP (Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan IPD Kota Bharu di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kemudian mereka terus ke Sabak tanpa berhenti dan trafik konvoi sangat tersusun serta teratur kerana dipimpin oleh Alternative Riding Club (ARC) Pemuda Pas yang berpengalaman.

Ujarnya, sepanjang konvoi, para peserta tidak menemui satu pun SJR.

"Sebab itu kita tidak mencabar pihak berkuasa kerana kita tidak melalui SJR. Bukan kata nampak SJR kemudian berpusing, memang tidak ada SJR sepanjang jalan.

"Bila hampir sampai di Jalan Pengkalan Chepa, kami melalui jalan masuk ke bandar, SJR di sebelah sana (arah keluar Pengkalan Chepa). Jadi, ada dua atau tiga SJR yang sempat dilalui… saya angkat tangan melambai kepada polis. Peserta konvoi pun mengucapkan terima kasih kepada anggota polis.

"Mengenai istilah ‘kena bodoh’, itu yang telah diputar belit oleh ‘cybertrooper’. Orang Kelantan semua tahu ‘kena bodoh’ itu merujuk kepada tipu muslihat (untuk memudahkan urusan), bukan makian. Maknanya, apabila polis membuat SJR, kita bukan hendak lari, tetapi ‘outsmart’ supaya perjalanan konvoi tidak terganggu. Kalau melalui SJR, sudah tentu tidak sampai ke mana-mana kerana faktor masa. Saya dah jelaskan kepada pegawai penyiasat, jangan kecil hati, kita tak maki polis, tetapi polis ini seperti dilaga-lagakan oleh pihak tertentu," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang lelaki yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis ketika menjalankan SJR kini berdepan tindakan undang-undang selepas polis membuka kertas siasatan berhubung satu video yang tular.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, pihaknya menerima satu laporan kira-kira jam 10 pagi pada Ahad yang dibuat oleh seorang pegawai kanan polis berhubung rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Menurut beliau, video tersebut memaparkan seorang individu lelaki mengeluarkan kenyataan menghina anggota polis ketika bertugas selain mendakwa berjaya melepasi beberapa SJR dengan cara memperdayakan anggota bertugas.

"Kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti PDRM (Polis Diraja Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, susulan itu pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Mohd Yusoff menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.