TANJONG MALIM – Program International Unity Festival 2026 (KIUF 26’) anjuran Kolej Awang Had Salleh (KAHS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya di Tapak Pesta, Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah bermula 30 April hingga 3 Mei lalu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata penganjuran program seumpama itu mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh nilai perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa serta komuniti.
Beliau berkata festival berkenaan bukan sahaja menjadi platform penglibatan pelajar secara aktif, malah berperanan menyemai semangat kesatuan dalam kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan masyarakat Malaysia.
“Program seperti ini mampu memperkasa nilai jiwa UPSI dalam diri mahasiswa selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan mempunyai jati diri kukuh,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan program itu di sini.
Sementara itu, Pengetua KAHS, Dr Mardiana Ismail berkata penganjuran KIUF 26’ memberi ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan masyarakat pelbagai lapisan umur sekali gus memupuk nilai kebersamaan dan toleransi.
Selain itu, program KIUF Run 26’ yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat turut menerima penyertaan termasuk dari peserta antarabangsa.
Katanya, penglibatan peserta daripada kanak-kanak hingga warga emas menjadikan program itu sebagai platform inklusif yang berjaya menghubungkan komuniti secara menyeluruh.
Sementara itu, Pengarah program, Muhammad Alif Ayub berkata konsep perpaduan yang diketengahkan dalam festival itu merangkumi pelbagai dimensi termasuk perbezaan generasi dan latar belakang individu.
“Perpaduan bukan sahaja terhad kepada kepelbagaian bangsa, malah turut merangkumi perbezaan peringkat umur serta kesefahaman antara individu,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk ceramah, pertandingan, pameran dan persembahan yang berjaya menarik penyertaan ramai pengunjung.
Antara pengisian menarik ialah pertandingan memasak kuih tradisional ‘Kuih Time’ yang menampilkan hidangan seperti onde-onde dan ketayap, selain memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
Program itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan melibatkan mahasiswa UPSI dan pelajar Sekolah Kebangsaan Slim River, termasuk tarian etnik Sabah dan Sarawak, tarian irama Melayu serta nyanyian oleh persatuan pelajar Cina.
Penganjuran festival itu dilihat berjaya menzahirkan keindahan kesatuan dalam kepelbagaian etnik di Malaysia selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)