hamden17/11/2026 - 18:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Kerjaya Prospek Group Berhad (Kerjaya Prospek) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM), memperoleh dua kontrak subkontrak bernilai keseluruhan RM25.07 juta bagi kerja-kerja infrastruktur serta sistem elektrik dan voltan amat rendah (ELV) di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Kedua-dua kontrak berkenaan diberikan kepada Savelite Engineering Sdn Bhd (Savelite), anak syarikat milik penuh ES Sunlogy Berhad, dan diterima oleh syarikat itu pada 3 November 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Kerjaya Prospek berkata kedua-dua kontrak subkontrak itu ditandatangani pada 16 November 2026, masing-masing bertarikh 22 Oktober 2026 dan 23 Oktober 2026.
Kontrak pertama bernilai RM5.20 juta membabitkan kerja-kerja infrastruktur di Tanah Tebusguna, Seksyen 2, Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
Sementara itu, kontrak kedua bernilai RM19.87 juta merangkumi pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrik serta ELV di Lot 854 (Plot Lama Plot E), Seksyen 2, Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman.
Kedua-dua kontrak berkenaan diberikan pada harga kontrak pukal tetap.
Urus niaga pihak berkaitan
Menurut Kerjaya Prospek, pemberian kerja-kerja subkontrak itu adalah dalam perjalanan biasa perniagaan kumpulan dan selaras dengan aktiviti perniagaan utamanya.
Pelantikan Savelite sebagai subkontraktor merupakan sebahagian daripada pelaksanaan tanggungjawab kumpulan sebagai kontraktor utama bagi projek berkenaan.
Kerjaya Prospek menjelaskan transaksi berkenaan merupakan urus niaga pihak berkaitan berulang yang bersifat hasil atau perdagangan (RRPT) menurut Perenggan 10.09 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Nilai agregat RRPT itu menghasilkan nisbah peratusan sebanyak 2.08%, melebihi ambang ditetapkan sebanyak 1%, sekali gus memerlukan syarikat membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia.
Dari segi kesan kewangan, kontrak berkenaan tidak dijangka memberikan kesan material terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Ia juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap keuntungan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya. - DagangNews.com






