KK Mart bakal jadi 'titik selamat' orang awam ketika kecemasan - Polis KL

Business & Finance
15 Sep 2026 • 4:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KK Mart bakal jadi 'titik selamat' orang awam ketika kecemasan - Polis KL
Fadil ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan KK Mart di IPK Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Rangkaian kedai serbaneka KK Mart di seluruh ibu negara bakal dijadikan sebagai titik selamat (safety point) atau kawasan perlindungan sementara bagi memperkukuh keselamatan awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, inisiatif tersebut dirancang melalui kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi pencegahan jenayah, khususnya di sekitar kawasan ibu kota.

Menurutnya, konsep safety point membolehkan orang awam mendapatkan perlindungan sementara di premis KK Mart sekiranya berdepan ancaman, gangguan atau situasi kecemasan sebelum bantuan polis tiba.

"Sebelum ini, konsep safety point pernah dilaksanakan bersama stesen minyak, namun kali ini kita mahu memperluaskannya melalui rangkaian KK Mart.

"Pihak polis berhasrat untuk melaksanakannya dalam masa terdekat sebaik sahaja segala proses teknikal dan kelulusan dimuktamadkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Tambah beliau, cawangan kedai serbaneka berkenaan juga dicadangkan berfungsi sebagai kawasan persinggahan anggota polis ketika menjalankan rondaan atau operasi di lapangan.

"Inisiatif ini akan meningkatkan lagi tahap keselamatan komuniti serta memperkukuh kerjasama antara polis, sektor swasta dan masyarakat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Fadil berkata, PDRM turut melihat potensi kerjasama teknologi dengan KK Mart menerusi perkongsian rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) milik syarikat peruncitan tersebut.

Menurut beliau, KK Mart kini mengendalikan lebih 1,100 cawangan di seluruh negara dengan setiap premis dilengkapi kira-kira 16 kamera CCTV yang dipantau secara berpusat dari ibu pejabat syarikat.

"Ini bermakna terdapat lebih 17,000 kamera CCTV yang berpotensi dimanfaatkan sebagai sumber maklumat tambahan kepada polis.

"Sekiranya dihubungkan melalui sistem pengecaman wajah dan pengecaman identiti, kita boleh meneliti pergerakan suspek serta mengenal pasti lokasi yang pernah dikunjungi mereka dengan lebih pantas," katanya.

Beliau menjelaskan, kerjasama berasaskan teknologi itu bukan sekadar membantu siasatan jenayah, malah menjadi contoh bagaimana sektor swasta boleh menyumbang secara langsung kepada keselamatan komuniti.

Tegas beliau, cadangan tersebut akan diperhalusi bersama KK Mart serta agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan, privasi dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan sebelum dilaksanakan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved