KK Mart sasar buka lebih 60 cawangan menjelang hujung tahun

Business & Finance
15 Sep 2026 • 4:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KK Mart sasar buka lebih 60 cawangan menjelang hujung tahun
Kee Kan (tiga,kiri) dan Fadil (tengah) ketika pembukaan KK Mart IPK Kuala Lumpur pada Selasa.
Image from: KK Mart sasar buka lebih 60 cawangan menjelang hujung tahun
Rangkaian kedai serbaneka 24 jam, KK Mart, menyasarkan pembukaan lebih 60 cawangan baharu menjelang hujung tahun ini di seluruh Malaysia, termasuk memperluaskan rangkaian ke lebih banyak premis kerajaan dan fasiliti awam sebagai strategi pertumbuhan syarikat.

RANGKAIAN kedai serbaneka 24 jam, KK Mart, menyasarkan pembukaan lebih 60 cawangan baharu menjelang hujung tahun ini di seluruh Malaysia, termasuk memperluaskan rangkaian ke lebih banyak premis kerajaan dan fasiliti awam sebagai strategi pertumbuhan syarikat.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan berkata, syarikat kini mengendalikan kira-kira 1,100 cawangan di seluruh negara dan melihat potensi besar untuk menempatkan kedai serbaneka di bangunan kerajaan.

Menurutnya, pembukaan cawangan pertama KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjadi titik permulaan kepada model operasi baharu yang memfokuskan kemudahan kepada penjawat awam dan orang ramai.

"KK Mart sasarkan pembukaan sebanyak 15 hingga 20 cawangan setiap bulan.

"Kami berharap dapat menambah lebih banyak KK Mart di premis PDRM serta bangunan kerajaan lain.

"Ketika ini, kami masih dalam proses perbincangan bagi menentukan model yang paling sesuai,” katanya pada majlis pembukaan KK Mart IPK Kuala Lumpur pada Selasa.

Pembukaan tersebut dirasmikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Beliau berkata, selain universiti, hospital dan hab pengangkutan, premis kerajaan merupakan lokasi strategik kerana menawarkan akses kepada komuniti yang memerlukan perkhidmatan runcit sepanjang masa.

"Bagi KK MART, kejayaan bukan hanya berapa banyak outlet yang kita buka. Kejayaan sebenar ialah berapa banyak manfaat yang dapat kita berikan kepada pelanggan, pekerja, masyarakat & partner strategik di sekeliling kita.

"Dalam setiap perancangan hala tuju syarikat KK MART, kami memastikan perlu wujud satu elemen penting dalam perniagaan iaitu wujudkan potensi agenda tanggungjawab sosial iaitu Social Responsibility kepada masyarakat," katanya.

Cawangan di IPK Kuala Lumpur beroperasi 24 jam dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penerimaan pembayaran di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Dalam masa sama, Chai berkata, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diperluaskan menerusi inisiatif keselamatan, termasuk perkongsian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada rangkaian KK Mart bagi membantu siasatan jenayah.

Katanya, semua 1,100 cawangan KK Mart dilengkapi sistem CCTV yang dipantau 24 jam dari pusat kawalan syarikat, sekali gus membolehkan rakaman disalurkan kepada pihak berkuasa apabila diperlukan.

**media[3648457]**

Selain itu, beliau berkata, KK Mart turut merancang menjadikan cawangannya sebagai Safety Point, iaitu lokasi perlindungan sementara bagi individu yang memerlukan bantuan sebelum mendapatkan khidmat polis.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, cadangan menjadikan KK Mart sebagai safety point kini dalam peringkat perancangan awal selepas kertas cadangan diangkat oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Katanya, Inisiatif tersebut dirancang melalui kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi pencegahan jenayah, khususnya di sekitar kawasan ibu kota.

“Pihak polis berhasrat untuk melaksanakannya dalam masa terdekat sebaik sahaja segala proses teknikal dan kelulusan dimuktamadkan,” katanya.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved