Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengajak orang ramai hadir memeriahkan Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 yang bakal berlangsung pada 6 Julai 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.
Bertemakan “Ke Arah Komuniti Luar Bandar Yang Dinamik, Makmur, dan Bahagia”, sambutan itu diadakan serentak dengan Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan 2026.
Sambutan dibuat untuk mengiktiraf peranan pembangunan luar bandar
Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia atau World Rural Development Day (WRDD) diisytiharkan secara rasmi oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 6 September 2024, dengan 6 Julai dipilih sebagai tarikh sambutan tahunan bagi mengiktiraf peranan pembangunan luar bandar di seluruh dunia.
Antara negara pernah menyambut WRDD adalah Bangladesh, India dan juga Myanmar.

Foto: Website CIRDAP
Sambutan akan diisi dengan pengisian yang berimpak tinggi
Malaysia yang merupakan antara negara pengasas Centre on Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP) turut mengambil langkah memperkenalkan sambutan ini bermula tahun 2026.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan bahawa sambutan berkenaan perlu memberi impak terus kepada masyarakat luar bandar.
“Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia diisi dengan pengisian yang berimpak tinggi serta memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat luar bandar,”ujarnya.

Beliau menyatakan, fokus utama sambutan tahun ini ialah inovasi komuniti, pendigitalan desa dan pembangunan usahawan selaras dengan tema “Ke Arah Komuniti Luar Bandar yang Dinamik, Makmur dan Bahagia.”
Sepanjang sambutan berlangsung, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk Pameran KKDW, gimik pelancaran dan tayangan montaj khas, peluncuran Jurnal My Rural Insight (MRI) serta penyampaian Anugerah Aspirasi Desa Madani (ADM) Peringkat Kebangsaan 2025 yang mengiktiraf kecemerlangan komuniti luar bandar.
Susulan itu, orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan sambutan ini serta menyaksikan pelbagai inisiatif KKDW yang memfokuskan kepada pembangunan komuniti desa, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.






