
LUAR NEGARA – Seekor anjing yang dilaporkan hilang hampir sebulan akhirnya ditemui dalam keadaan yang mencuit hati apabila ia muncul dalam siaran langsung sambutan kemenangan Mexico selepas menewaskan Republik Czech 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia FIFA 2026. Kemenangan itu memastikan Mexico mara ke pusingan 32 terbaik sebagai juara kumpulan.
Sebulan Tanpa Jejak
Alejandra Garcia dari Ciudad Victoria, Tamaulipas, tidak menyangka pencariannya terhadap anjing kesayangannya, Gorda, berakhir selepas ahli keluarganya mengecam haiwan itu dalam video siaran langsung yang memaparkan ribuan penyokong Mexico meraikan kemenangan negara mereka.
Dalam rakaman tersebut, Gorda kelihatan didukung oleh seorang penyokong sambil ‘menyertai’ kemeriahan sambutan di tengah-tengah lautan peminat bola sepak.
Muncul Ketika Sambutan Kemenangan
Tanpa membuang masa, Garcia terus menuju ke lokasi sambutan bersama seorang ahli keluarganya dengan harapan anjing yang dilihat dalam siaran itu benar-benar Gorda.
Walaupun kawasan berkenaan dipenuhi orang ramai, mereka akhirnya berjaya menemui semula Gorda sebelum membawanya pulang ke rumah dengan selamat.
Garcia kemudian memaklumkan menerusi Facebook bahawa Gorda sudah kembali ke pangkuan keluarga dan akan dibawa menjalani pemeriksaan di klinik veterinar bagi memastikan keadaannya benar-benar sihat.
Netizen Salah Faham?
Susulan kisah itu tular, Garcia turut menjawab dakwaan segelintir netizen yang menuduh keluarganya mengabaikan atau membuang Gorda.
Menurutnya, anjing berusia enam tahun itu membesar bersama keluarganya sejak kecil dan sememangnya terkenal sebagai haiwan yang bijak serta nakal. Walaupun rumah dipasang pagar berjaring dan Gorda pernah dipakaikan tag nama, ia sering mencari jalan untuk meloloskan diri.
Kisah pertemuan semula Gorda menjadi perhatian ramai di media sosial, malah ada yang berseloroh mengatakan anjing itu “bukan hilang, cuma sedang berpesta” selepas muncul dalam lautan penyokong yang meraikan kemenangan Mexico. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.





