
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui negara kini berdepan kekurangan tenaga kejururawatan yang kritikal dengan 10,557 jawatan Jururawat Gred U5 masih kosong setakat 30 Jun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada keseluruhan 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5, hanya 62,724 jawatan diisi, bersamaan 85.60 peratus.
Menurutnya, kekosongan itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk persaraan, penghijrahan tenaga berkemahiran ke luar negara dan persaingan sengit daripada sektor swasta.
“Setakat 30 Jun lalu, saya harus akui, kita berdepan dengan masalah kekurangan tenaga yang sangat kritikal.
“Daripada 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5, kita hanya ada 62,724 pengisian, kurang lebih 85.60 peratus,” katanya pada Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, kekurangan jururawat bukan sekadar angka dalam laporan, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap keupayaan fasiliti kesihatan menyediakan rawatan kepada pesakit.
“Angka inilah yang menentukan lambat atau cepatnya ibu bapa kita menerima rawatan di zon kecemasan. Angka inilah penentu kualiti nyawa pesakit,” katanya.
Bagi menangani isu itu, KKM menggariskan tiga strategi utama termasuk meningkatkan pengeluaran tenaga kejururawatan, memperluas laluan kerjaya serta membolehkan pengambilan terus dan autonomi dalam pengurusan perjawatan.
Katanya, pengambilan pelatih jururawat ditingkatkan kepada 3,000 orang setahun mulai 2025, dengan sasaran melahirkan 13,345 graduan ILKKM menjelang 2030.
KKM turut menyasarkan sehingga 2,000 pelatih setahun disalurkan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
“Menjelang Oktober 2027, kita akan buka semula empat cawangan ILKKM di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang dengan tambahan kapasiti 500 pelatih setiap tahun.
“Ini menjadikan kapasiti keseluruhan Diploma Kejururawatan kepada 5,500 pelatih setahun,” katanya.
Dalam masa sama, 15 Program Latihan Sambil Bekerja (OJT) akan dimulakan September ini bagi membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh lama.
KKM turut memperluas laluan kerjaya Jururawat Masyarakat menerusi Diploma Peralihan.
Bagi pengambilan pula, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim, membolehkan graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia diserap terus ke jawatan tetap.
“Sejak 9 Julai lalu, KKM memiliki mandat atau kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan.
“Kita tidak lagi menunggu birokrasi yang panjang. Anda lulus, anda daftar, kita tempatkan anda terus di lapangan,” katanya.
Tiga langkah itu merupakan sebahagian usaha KKM menjayakan Pelan Strategik Kejururawatan 2026-2036 yang dilancarkan 9 Jun lalu, membabitkan 17 strategi dan 44 inisiatif. –UTUSAN
The post KKM akui kekurangan jururawat kritikal, garis tiga strategi tangani isu appeared first on Utusan Malaysia.






