Kerajaan negeri tidak main politik isu kekurangan petugas kesihatan – Onn Hafiz

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 4:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan negeri tidak main politik isu kekurangan petugas kesihatan – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kerajaan negeri hanya bermain politik dengan ‘menyeru’ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu kekurangan petugas kesihatan di negeri ini.

Sebaliknya, Onn Hafiz berkata, pihaknya hanya menuntut janji diberikan kerajaan Persekutuan menerusi KKM untuk mengatasi masalah berkenaan dengan segera bagi kesejahteraan rakyat Johor.

“Kenyataan bahawa kerajaan Johor hanya tahu ‘menyeru’ KKM dan segala usaha yang telah dilakukan sekadar ‘wayang’ adalah satu fitnah dan perlu diperbetulkan. Kita tidak berkompromi dalam perkara melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan rakyat, apatah lagi mempolitikkan isu ini.

“Kekurangan doktor dan jururawat di Johor kini berada pada tahap kritikal dan saya menuntut apa yang dijanjikan KKM sebelum ini. Pada tahun lalu, KKM telah menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan bersetuju untuk menyelesaikan isu perjawatan ini.

“KKM bersetuju untuk mengisi segera kekosongan jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai, selain menambah tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang. Malangnya sehingga kini, masalah perjawatan yang membelenggu sektor kesihatan Johor masih belum diselesaikan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berkata pihaknya terpaksa menggunakan platform media untuk terus menuntut agar janji yang telah dibuat KKM dikotakan.

“Apabila sekolah kekurangan guru, kerajaan negeri rujuk Kementerian Pendidikan, apabila kekurangan pegawai imigresen, perkara itu dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen. Begitu juga apabila hospital KKM kekurangan petugas kesihatan, sudah tentu perkara itu perlu dibawa kepada KKM.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberikan mandat kepada KKM untuk mengurus dan mengagihkan perjawatan mengikut keperluan fasiliti kesihatan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan negeri tidak hanya berdiam diri sebaliknya telah mengambil beberapa inisiatif bagi membantu mengurangkan beban petugas kesihatan di negeri ini.

“Antaranya termasuklah membiayai penempatan doktor locum di hospital utama termasuk HSA dan HSI bagi membantu Jabatan Kecemasan mengurangkan tempoh menunggu serta beban petugas sedia ada dan menubuhkan Southern Volunteers Healthcare.

“Selain itu, kita turut meningkatkan kebajikan petugas kesihatan dengan menaik taraf lebih 460 bilik pantri di fasiliti kesihatan seluruh Johor; menyediakan ambulans tambahan selain bantuan aset serta peralatan perubatan kepada hospital dan fasiliti kesihatan serta menjalin kerjasama dengan hospital swasta bagi membantu dari sudut kepakaran dan tenaga kerja,” katanya.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri tidak bermain ‘wayang’ apabila melibatkan nyawa rakyat, sebaliknya menuntut apa yang dijanjikan dan menyeru pihak yang mempunyai kuasa supaya melaksanakan tanggungjawabnya.-UTUSAN

The post Kerajaan negeri tidak main politik isu kekurangan petugas kesihatan – Onn Hafiz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved