Bukan wayang, kami tuntut janji KKM – Onn Hafiz

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 5:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bukan wayang, kami tuntut janji KKM – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menempelak dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan usaha kerajaan negeri menangani isu kekurangan doktor dan jururawat di negeri ini sekadar ‘wayang’.

Beliau berkata, kenyataan ‘orang-orang politik’ yang cuba mempolitikkan isu kesihatan di Johor itu perlu diperbetulkan kerana Kerajaan Negeri Johor tidak pernah berkompromi dalam perkara membabitkan nyawa, kesihatan dan kebajikan rakyat.

Menurutnya, masalah kekurangan doktor dan jururawat di Johor kini berada pada tahap kritikal dan kerajaan negeri hanya menuntut agar janji yang pernah dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri terpaksa menyeru dan menuntut janji yang telah dibuat oleh KKM melalui media dan media sosial kerana isu ini telah dibangkitkan secara baik sejak 2023 lagi.

“Malah pada tahun lalu, pihak KKM telah menghadap Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk menyelesaikan isu perjawatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, KKM sebelum ini bersetuju mengisi segera kekosongan jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai, selain menambah tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang.

Namun, sehingga kini masalah perjawatan yang membelenggu sektor kesihatan di Johor masih belum diselesaikan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan mandat kepada KKM untuk mengurus dan mengagihkan perjawatan mengikut keperluan fasiliti kesihatan.

Katanya, sementara menunggu penyelesaian daripada KKM, kerajaan negeri tidak hanya menjadi pemerhati atau pendesak.

Sebaliknya turut melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu mengurangkan beban sektor kesihatan termasuk membiayai penempatan doktor locum di hospital utama seperti HSA dan HSI bagi membantu Jabatan Kecemasan mengurangkan tempoh menunggu serta beban petugas sedia ada, selain menubuhkan Southern Volunteers Healthcare.

Kerajaan negeri turut meningkatkan kebajikan petugas kesihatan dengan menaik taraf lebih 460 bilik pantri di fasiliti kesihatan seluruh Johor, selain menyediakan penghantaran ubat secara pos dan memperluaskan kemudahan seperti Locker4U bagi mengurangkan keperluan pesakit hadir ke fasiliti kesihatan semata-mata untuk mendapatkan ubat susulan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan ambulans tambahan, bantuan aset serta peralatan perubatan kepada hospital dan fasiliti kesihatan, selain melaksanakan Klinik Decanting bagi memindahkan perkhidmatan tertentu ke lokasi alternatif untuk mengurangkan kesesakan.

“Kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta termasuk KPJ Healthcare bagi membantu dari sudut kepakaran dan tenaga kerja. Maka jelaslah Kerajaan Negeri Johor bukan sekadar ‘wayang’ bila melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan Bangsa Johor. Seperti yang saya katakan, kami hanya menuntut apa yang dijanjikan,”katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Bukan wayang, kami tuntut janji KKM – Onn Hafiz appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved