amree02/11/2026 - 12:30 Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan berdepan kekurangan pemandu susulan kelewatan proses pengambilan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menggantung sementara pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sejak 2024.
Kekurangan 1,176 petugas kenderaan di seluruh negara, termasuk pemandu ambulans, dijangka terus membebankan operasi fasiliti kesihatan awam hingga sekurang-kurangnya April 2027, apabila pengisian jawatan kosong dijangka bermula secara berperingkat.
Menurut laporan, penangguhan tersebut perlu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang menyaksikan skim pemandu kenderaan terdahulu bakal digabungkan ke dalam skim baharu Pembantu Khidmat Am.
Perubahan berkenaan ujarnya, memerlukan syarat pengambilan disemak semula, khususnya bagi petugas yang dipertanggungjawabkan memandu ambulans dan perlu memenuhi keperluan kompetensi tertentu.
Berdasarkan data setakat 30 September 2026, KKM masih lagi mempunyai 8,863 jawatan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan), namun hanya 7,687 jawatan diisi, manakala baki 1,176 lagi adalah kosong.
"Semenanjung Malaysia merekodkan jumlah kekosongan yang paling tinggi iaitu sebanyak 1,003 jawatan, diikuti Sarawak dengan 92 jawatan, Sabah (73) dan Labuan (lapan)," kata kementerian tersebut.

KKM jelas laporan berkenaan, menjangkakan kekosongan di fasiliti kesihatan awam dapat diisi secara berperingkat mulai April 2027, tertakluk kepada penyelesaian proses pengambilan oleh SPA.
Permohonan calon baharu ujarnya, masih diproses oleh pihak SPA, manakala ujian kompetensi pemanduan bagi calon sudah selesai dilaksanakan pada 27 Oktober 2026.
Proses pengambilan itu turut mengambil kira kekosongan sedia ada, persaraan, pergerakan keluar kakitangan serta keperluan operasi setiap fasiliti kesihatan bagi memastikan penempatan tenaga kerja secara lebih bersesuaian.
Kekurangan pemandu itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap beban tugas petugas sedia ada, dengan Persatuan Pemandu dan Pembantu Kesihatan KKM (PEMATA-KKM) sebelum ini membangkitkan isu kerja melebihi waktu ditetapkan serta risiko keletihan melampau dalam kalangan pemandu.
Keadaan itu berlaku ketika kerajaan merancang mendapatkan 400 buah ambulans baharu untuk kegunaan hospital KKM menerusi Belanjawan 2027 bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kecemasan.
Bagaimanapun, penambahan kenderaan berkenaan turut memerlukan tenaga pemandu mencukupi bagi memastikan operasi ambulans dapat dilaksanakan dengan berkesan. - DagangNews.com






