KKM perkenal MyLapor, kini boleh lapor kesalahan merokok terus melalui MySejahtera

LocalHealth & Fitness
13 Oct 2026 • 6:34 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

KKM perkenal MyLapor, kini boleh lapor kesalahan merokok terus melalui MySejahtera

Merokok di kawasan larangan merokok adalah satu kesalahan, tapi masih ramai yang masih melakukannya. Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan MyLapor, saluran aduan digital yang membolehkan orang ramai melaporkan kesalahan merokok dan penggunaan vape di kawasan larangan merokok.

MyLapor mula beroperasi pada 12 Oktober dan dibangunkan bagi membantu penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Melalui MyLapor, orang ramai boleh membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera, mengimbas kod QR MyLapor yang dipamerkan di premis, atau menggunakan portal web MyLapor

Ini bukan kali pertama saluran seumpama ini diperkenalkan. Sebelum ini, aduan boleh dibuat melalui talian WhatsApp pada 2019 dan platform JomLapor pada 2024.

Apa jenis kesalahan boleh dilaporkan?

MyLapor memberi ruang kepada orang ramai untuk membuat aduan tanpa perlu bersemuka dengan individu yang melakukan kesalahan.

Berdasarkan laman FAQ MyLapor, antara kesalahan yang boleh dilaporkan termasuk merokok di kawasan larangan, penjualan, pembelian atau penggunaan produk merokok oleh Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu berumur bawah 18 tahun.

Selain itu, anda juga boleh melaporkan:

  • Pembungkusan produk merokok yang tidak mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan
  • Penjualan produk merokok secara dalam talian atau melalui mesin layan diri
  • Iklan atau promosi produk merokok yang tidak dibenarkan

Setiap laporan akan dihantar terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat berdasarkan lokasi kejadian. Menurut KKM, pendekatan ini membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih cepat dan tepat tanpa melalui proses pelaporan yang panjang. Bagi laporan yang dibuat melalui MySejahtera, pengadu turut menerima notifikasi mengenai status aduan.

Aduan secara digital juga membantu KKM mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian dan merancang tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.

Premis dan kawasan larangan merokok

Dengan MyLapor, anda boleh membuat laporan sekiranya melihat kesalahan merokok di mana-mana premis atau kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Akta 852. Terdapat 28 kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan larangan merokok, antaranya:

  • Pusat hiburan atau teater, kecuali kasino
  • Kawasan hospital atau klinik
  • Lif atau tandas awam
  • Tempat makan
  • Kedai berhawa dingin
  • Bangunan dobi
  • Bangunan hentian pengangkutan awam
  • Kawasan lapangan terbang
  • Kawasan premis kerajaan
  • Bangunan Parlimen Malaysia
  • Kawasan institusi pendidikan tinggi
  • Kawasan taman asuhan kanak-kanak
  • Kaunter perkhidmatan awam
  • Pusat beli-belah
  • Kawasn stesen minyak
  • Bangunan stadium, pusat kecergasan atau gimnasium
  • Kompleks sukan
  • Bangunan awam bagi tujuan keagamaan
  • Kawasan perpustakaan
  • Kafe internet
  • Kawasan rehat dan rawat (kecuali parkir kereta)
  • Bangunan tempat kerja
  • Kawasan taman awam
  • Di dalam bas sekolah
  • Di dalam kenderaan awam

KKM turut menggalakkan pemilik premis dan pengusaha perniagaan mempamerkan kod QR rasmi MyLapor di lokasi yang mudah dilihat. Dengan kod QR ini, pelanggan boleh mengimbasnya untuk terus mengakses MyLapor dan membuat laporan jika terdapat kesalahan merokok atau vape di premis berkenaan.

Cara membuat aduan dengan MyLapor

Proses membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera dan portal web MyLapor agak mudah, walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi langkah. Kedua-duanya menyokong Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Untuk membuat laporan melalui MySejahtera, pengguna boleh membuka aplikasi dan memilih MyLapor di halaman utama, kemudian tekan “Laporkan di sini”. Selepas itu, terdapat empat langkah utama:

  1. Pilih kesalahan yang ingin dilaporkan.
  2. Muat naik gambar jika ada.
  3. Pilih lokasi kejadian.
  4. Semak maklumat dan tekan “Submit”.

Anda juga boleh menyemak semula laporan yang telah dibuat, termasuk melihat statusnya, melalui pilihan “Lihat Sejarah Aduan” dalam aplikasi MySejahtera.

Bagi portal web MyLapor, prosesnya memerlukan beberapa langkah tambahan. Selepas tekan “Laporkan di sini”, anda perlu memilih kesalahan, memuat naik gambar jika ada, menetapkan lokasi kejadian dan memilih tarikh. Selepas itu, masukkan nama penuh dan nombor telefon sebelum menekan “Hantar”.

Tidaklah pelik mengapa versi web memerlukan lebih banyak langkah. Nama dan nombor telefon perlu diisi kerana, tidak seperti MySejahtera, portal web tidak mempunyai maklumat tersebut.

Walaupun laporan boleh dihantar tanpa gambar, KKM menyatakan bahawa gambar amat digalakkan kerana ia boleh membantu pihak berkuasa mengambil tindakan susulan dengan lebih berkesan.

[Sumber: KKM]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved