KKM sahkan penularan varian baharu Covid-19 XFG

19 Sep 2025 • 4:52 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penularan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai XFG, selepas dikesan daripada 43,087 kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35/2025 (ME35/2025) sehingga 6 September lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata varian itu menyumbang 8.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan.

“Secara kumulatif, sehingga ME35/2025, sebanyak 43,087 kes dilaporkan berbanding 85,297 kes dalam tempoh sama tahun 2024, iaitu penurunan sebanyak 49.5 peratus. Kes mingguan pada ME35 ialah 594, menurun 12.8 peratus berbanding 681 kes pada ME34,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Beliau berkata, pemantauan genomik mendapati varian NB.1.8.1 kekal paling dominan dengan 39.4 peratus kes, diikuti varian JN.1 (18.1 peratus), XEC (13.3 peratus), manakala 21 peratus lagi membabitkan lain-lain varian.

Pada minggu yang sama, KKM turut merekodkan satu kematian baharu melibatkan seorang warga emas berusia 91 tahun yang terlantar sakit, menjadikan jumlah kumulatif tiga kematian akibat Covid-19 pada tahun ini masing-masing berlaku pada ME24, ME30 dan ME35/2025.

Varian XFG pertama kali dikesan di Asia Tenggara pada Januari lalu, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikannya sebagai varian bawah pengawasan pada Jun, susulan penularannya yang pantas di seluruh dunia.

Ia merupakan rekombinan daripada dua varian Omicron sedia ada, iaitu LF.7 dan LP.8.1.2.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) sebelum ini memaklumkan XFG telah menjadi varian dominan di negara itu selepas peningkatan kes secara setempat sejak awal Julai.