
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti pelaksanaan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu merupakan komitmen untuk mengangkat, memartabatkan, serta menghargai pengorbanan semua pegawai perubatan yang berkhidmat di kedua-dua negeri itu.
“Buat hari ini, HLP kita adalah sebanyak 1,650 (slot pengajian), jadi kurang lebih 30 peratus (daripada jumlah slot itu) ada 500 tempat yang kita khususkan kepada mereka berada di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dzulkefly menjawab soalan Suhaizan Kaiat (BN-Pulai) mengenai faktor kadar gagal lapor diri pegawai perubatan yang tinggi di Sabah dan Sarawak selepas tempoh melapor diri untuk 4,255 pegawai perubatan tamat semalam, serta langkah kementerian untuk mengatasi isu itu.
Mengenai jumlah pegawai perubatan yang melapor diri, beliau berkata sebanyak 337 daripada 527 orang yang diberikan tawaran telah melapor diri di Sarawak, manakala di Sabah pula melibatkan 336 daripada 528 orang.
“Secara keseluruhannya, peratusan pegawai perubatan yang melapor diri di Sabah dan Sarawak adalah 63 peratus daripada jumlah penempatan ditawarkan.
“Meskipun angka ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding kadar ketidakhadiran (no-show) atau kegagalan melapor diri sebanyak 42 peratus antara 2020 hingga 2025, kadar kali ini hanya menurun sebanyak lima peratus,” katanya.
Dzulkefly berkata faktor berjauhan daripada keluarga serta kecenderungan untuk bertugas di fasiliti kesihatan di kawasan bandar antara alasan pegawai perubatan menolak tawaran lantikan tetap bagi penempatan di kedua-dua negeri itu.
Menurut beliau, pegawai perubatan turut berpandangan bahawa peluang kerjaya kurang baik sekiranya mereka berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pegawai ingin menjaga ibu bapa dan adik-beradik serta ingin berada berdekatan dengan pasangan. Pegawai juga menghidap masalah kesihatan selain menghadapi masalah logistik, kewangan peribadi serta kos perpindahan yang tinggi.
“Selain itu, terdapat persepsi mengenai kurangnya peluang untuk melanjutkan pengajian kepakaran jika ditempatkan di Sabah dan Sarawak, selain kebimbangan mengenai hala tuju kerjaya serta peluang untuk bertukar semula ke Semenanjung atau wilayah asal mereka,” katanya.
Bagi menggalakkan pegawai perubatan melapor diri di Sabah dan Sarawak, Dzulkefly berkata KKM menambah baik kaedah penempatan pegawai perubatan lantikan tetap dengan menaik taraf sistem eHousemen (e-Placement).
“Selain itu, pegawai layak menerima elaun pertukaran pada kadar 100 peratus merangkumi elaun makan, bayaran sewa hotel (lodging), tambang perjalanan, dan pelbagai kemudahan lain yang sebelum ini tidak diterima disebabkan oleh peralihan skema jawatan daripada kontrak kepada tetap.
“Semasa bertukar kembali ke wilayah asal, pegawai perubatan turut layak menerima elaun gangguan (disturbance allowance) pada kadar sebulan gaji hakiki pegawai,” katanya.
Mengenai sama ada kerajaan akan mempertimbangkan penamatan perjawatan kontrak pada masa akan datang, Dzulkefly berkata perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam waktu terdekat.
“Apa yang saya cita-citakan sejak awal saya kembali mengemudi KKM kali kedua ini adalah untuk menamatkan servis kontrak ini dan ini telah pun dipertimbangkan,” katanya. – Bernama
The post KKM teliti kuota 30 peratus lanjutan kepakaran di Sabah, Sarawak appeared first on Kosmo Online.






