IOI Properties rancang beli 2 lagi aset di Singapura, Chijmes dan Capitol Kempinski bernilai RM3.1 bilion

Business & FinanceProperty
15 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Properties rancang beli 2 lagi aset di Singapura, Chijmes dan Capitol Kempinski bernilai RM3.1 bilion Image from: IOI Properties rancang beli 2 lagi aset di Singapura, Chijmes dan Capitol Kempinski bernilai RM3.1 bilion amree15/10/2026 - 09:15 Foto kredit Jisun Han / Unsplash Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – IOI Properties Group Berhad berhasrat mengembangkan portfolio hartanahnya di Singapura apabila mengadakan rundingan eksklusif untuk mengambil alih dua aset, Chijmes dan hotel Capitol Kempinski, dengan nilai gabungan AS$760 juta (kira-kira RM3.1 bilion).

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lee Yeow Seng berkata, kumpulan itu sedang menjalankan usaha wajar bagi kedua-dua aset berkenaan, namun nilai akhir pengambilalihan masih belum dimuktamadkan kerana rundingan tersebut sedang berlangsung.

 

Hotel Capitol Kempinski dilaporkan dipasarkan pada harga sekitar S$600 juta (RM1.9 bilion), manakala Chijmes, ialah kompleks runcit dan gaya hidup yang beroperasi di bekas bangunan biara Katolik, dan dinilai S$379 juta (RM1.2 bilion) pada akhir 2025.

 

Langkah itu mencerminkan strategi agresif IOI Properties memperluas aset komersial di Singapura, selepas mengambil alih sepenuhnya kompleks pejabat South Beach dan membeli bangunan pejabat Asia Square Tower 2, yang meningkatkan nilai portfolio komersial di negara itu kepada S$10 bilion (RM31.83 bilion).

 

"Bagi meningkatkan potensi pendapatan Chijmes, kumpulan ini sedang mengadakan perbincangan untuk membawa masuk jenama fesyen mewah bagi mempelbagaikan penyewa dan meningkatkan kadar sewa, yang sebelum ini terjejas oleh dominasi premis makanan dan minuman. IOI Properties turut merancang menggantikan hotel Capitol Kempinski dengan jenama hotel ultra mewah bertaraf antarabangsa," kata Yeow Seng di Singapura.

 

Dalam perkembangan berkaitan, IOI Properties juga dikatakan sedang berbincang dengan CapitaLand Investment Ltd untuk membentuk usaha sama bagi mengambil alih kompleks pejabat One Raffles Place. Pemilik majoriti aset itu, OUE REIT, sebelum ini mengesahkan rundingan eksklusif sedang berlangsung berhubung kemungkinan penjualan.

 

IOI Properties_DagangNews2026

 

Bagaimanapun, strategi pengembangan berkenaan meningkatkan tekanan kewangan kumpulan apabila nisbah hutang bersih kepada ekuiti meningkat kepada 85% pada akhir Jun 2026. Yeow Seng menyasarkan nisbah itu dikurangkan kepada antara 30% hingga 50% dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

 

Bagi mencapai sasaran tersebut, IOI Properties merancang menubuhkan dana hartanah persendirian dalam tempoh dua bulan, dengan dua aset awal bernilai keseluruhan S$6 bilion (RM19.1 bilion), iaitu bahagian pejabat South Beach dan IOI Central Boulevard Towers yang menempatkan penyewa seperti Morgan Stanley dan Jane Street Capital.

 

Dana berkenaan akan menyasarkan pelabur institusi termasuk firma ekuiti swasta, dana kekayaan berdaulat dan syarikat insurans, dengan sasaran kadar pulangan dalaman (IRR) antara 10% hingga 11% serta agihan pendapatan setiap enam bulan. 

 

Kumpulan bercadang mengurangkan pegangan dalam aset berkenaan kepada kira-kira 50% dan menawarkan pegangan minimum sekitar S$500 juta, sebelum mempertimbangkan penyenaraian sebagai amanah pelaburan hartanah (REIT).

 

Dalam pada itu, IOI Properties turut berdepan cabaran bagi projek kediaman mewah di pusat bandar Singapura yang merangkumi 683 unit, apabila hanya kira-kira 15 unit terjual. 

 

Beliau berkata kumpulan sedang berusaha mendapatkan pelepasan daripada cukai lebih tinggi yang dikenakan pihak berkuasa Singapura, selain beralih kepada strategi menyewakan unit kepada ekspatriat susulan levi 60% ke atas kebanyakan pembelian hartanah oleh warga asing.

 

Walaupun berdepan peningkatan hutang dan cabaran pasaran kediaman, Lee kekal optimistik terhadap prospek hartanah Singapura, yang menurutnya terus menarik golongan kaya dan syarikat antarabangsa.

 

IOI Properties dijangka meneruskan pengembangan secara strategik sambil menggunakan dana persendirian bagi mengurus komitmen modal dan memperkukuh kedudukan kewangannya dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved