Klebang berpotensi jadi lokasi penganjuran LIMA

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 8:06 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Klebang berpotensi jadi lokasi penganjuran LIMA

MELAKA: Kawasan Klebang berpotensi menjadi lokasi alternatif penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) pada masa hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Klebang mempunyai kedudukan yang strategik selain mempunyai keupayaan untuk menampung penganjuran acara berskala besar se­perti LIMA yang diadakan dwitahunan.

Menurutnya, kawasan ber­kenaan boleh diterokai sebagai lokasi alternatif memandangkan kedudukannya tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam selain mempunyai akses bagi kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk berlabuh.

Bagaimanapun menurutnya, penganjuran LIMA di lokasi baharu iaitu di Klebang memerlukan pelaburan yang sangat besar terutama bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan berkaitan.

“Klebang ini pun tidak jauh dari Batu Berendam. Apabila kapal-kapal laut pun boleh ber­ada di sini maka ia sebenarnya satu tempat yang boleh jadi alternatif menggantikan Langkawi.

“Kalau di Langkawi, tidak ramai rakyat boleh pergi tetapi kalau di Melaka ini seluruh rakyat boleh hadir. Jadi ia satu yang boleh kita terokai,” kata­nya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini semalam yang dirasmikan Ketua Menteri Me­laka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Panglima Ang­katan Tentera (PAT), Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Pang­lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Sementara itu, Ab. Rauf berkata, cadangan menjadikan Melaka sebagai lokasi penganjuran LIMA masih berada pada peringkat awal dan memerlukan penelitian daripada segi kemampuan negeri serta ke­perluan infrastruktur.

Menurut beliau, Melaka sememangnya mempunyai ke­dudukan strategik untuk menganjurkan acara ber­kenaan namun aspek kos perlu diberikan perhatian.

“Itu pada peringkat awal, kerangka awal yang akan difikirkan kerana infrastruktur untuk menganjurkan LIMA ini memerlukan satu perbelanjaan yang besar.

“Memang Melaka adalah sebuah negeri yang strategik untuk menganjurkan tetapi kena lihat juga kemampuan kita,” katanya.

Beliau menegaskan, perkara itu boleh dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan sekiranya penganjuran LIMA di Melaka benar-benar memberikan manfaat kepada negara dan negeri.

“Boleh dibincangkan di pe­ringkat Kerajaan Persekutuan nanti. Sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada Persekutuan dan Negeri, kenapa tidak boleh kita laksanakan, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Ab. Rauf merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan kerana menyediakan pameran aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Tentera Laut, Tentera Darat dan Tentera Udara untuk tatapan rak­yat menerusi Karnival CIMIC-UTUSAN.

The post Klebang berpotensi jadi lokasi penganjuran LIMA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved