Melaka bakal jadi lokasi penganjuran LIMA

30 Aug 2026 • 12:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Melaka bakal jadi lokasi penganjuran LIMA

MELAKA – Kerajaan meneroka alternatif untuk menganjurkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Melaka pada masa hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, bagaimanapun ia memerlukan pelaburan besar daripada kerajaan, bagi memastikan infrastruktur berkaitan dapat dilengkapkan dengan sempurna sebelum pameran berkenaan dapat dilaksanakan.

“Kalau tengok pada Klebang ini pun tak jauh daripada Batu Berendam (yang mempunyai lapangan terbang) dan apabila kapal-kapal laut pun boleh berada di sini, maka ia sebenarnya satu tempat yang boleh jadi alternatif kepada Langkawi.

“Bila (anjur LIMA) di Langkawi tu, tak ramai rakyat boleh pergi, tapi kalau di Melaka ni seluruh rakyat (dapat hadir), jadi ia satu (alternatif) yang boleh kita terokai dan memang seperti kata Datuk Rauf (Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), ia memerlukan pelaburan yang sangat-sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang turut dihadiri Ab Rauf dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini hari ini.

Mohamed Khaled dalam ucapannya pada majlis pelancaran tersebut berkata kerajaan merancang untuk mengadakan pameran dwitahunan itu di Melaka, jika Langkawi tidak lagi menjadi kawasan yang sesuai pada masa hadapan.

Beliau berkata idea itu tercetus berikutan penyertaan enam kapal Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) yang berjaya menyertai Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka, pada tahun ini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah kepada penganjuran pameran bertaraf antarabangsa itu, namun perlu melihat kepada kemampuan dan manfaat yang diterima Melaka.

“Memang Melaka adalah sebuah negeri yang strategik untuk menganjurkan (LIMA), tetapi kita kena lihat juga kemampuan kita.

“(Perkara ini) boleh dibincangkan peringkat kerajaan Persekutuan nanti…sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada Persekutuan dan negeri, kenapa tidak boleh kita laksanakan, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan CIMIC dianjurkan selama tiga hari dari 29 hingga 31 Ogos, sebagai medium memperkukuh sinergi awam-tentera di samping memberi peluang kepada rakyat mengenali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan lebih dekat.

Antara pengisian utama karnival interaktif itu termasuk pameran aset dan keupayaan pertahanan, perkhidmatan komuniti dan kesihatan serta peluang kerjaya dan belia. – Kosmo! Online

The post Melaka bakal jadi lokasi penganjuran LIMA appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved