
MELAKA: Klebang dilihat berpotensi menjadi lokasi alternatif penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) pada masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Klebang dilihat mempunyai kedudukan yang strategik selain mempunyai keupayaan untuk menampung penganjuran acara berskala besar seperti LIMA yang diadakan dwitahunan.
Menurutnya, kawasan berkenaan boleh diterokai sebagai lokasi alternatif memandangkan kedudukannya tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, selain mempunyai akses bagi kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk berlabuh.
Bagaimanapun menurutnya, penganjuran LIMA di lokasi baharu iaitu di Klebang memerlukan pelaburan yang sangat besar terutama bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan berkaitan.
“Klebang ini pun tidak jauh daripada Batu Berendam. Apabila kapal-kapal laut pun boleh berada di sini, maka ia sebenarnya satu tempat yang boleh jadi alternatif menggantikan Langkawi.
“Kalau di Langkawi, tidak ramai rakyat boleh pergi, tetapi kalau di Melaka ini seluruh rakyat boleh hadir. Jadi ia satu yang boleh kita terokai,” katanya dalam sidang akhbar Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini hari ini yang telah dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Sementara itu, Ab. Rauf dalam sidang akhbar yang sama berkata, cadangan menjadikan Melaka sebagai lokasi penganjuran LIMA masih berada pada peringkat awal dan memerlukan penelitian dari segi kemampuan negeri serta keperluan infrastruktur.
Menurut beliau, Melaka sememangnya mempunyai kedudukan strategik untuk menganjurkan acara berkenaan, namun aspek kos perlu diberikan perhatian.
“Itu pada peringkat awal, kerangka awal yang akan difikirkan kerana infrastruktur untuk menganjurkan LIMA ini memerlukan satu perbelanjaan yang besar.
“Memang Melaka adalah sebuah negeri yang strategik untuk menganjurkan, tetapi kita kena lihat juga kemampuan kita,” katanya.
Beliau menegaskan, perkara itu boleh dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan sekiranya penganjuran LIMA di Melaka benar-benar memberikan manfaat kepada negara dan negeri.
“Boleh dibincangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan nanti. Sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada Persekutuan dan Negeri, kenapa tidak boleh kita laksanakan, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Ab. Rauf merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan kerana menyediakan pameran aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Tentera Laut, Tentera Darat dan Tentera Udara untuk tatapan rakyat menerusi Karnival CIMIC. – UTUSAN
The post Klebang berpotensi jadi lokasi penganjuran LIMA – Mohamed Khaled appeared first on Utusan Malaysia.






