BUKIT MERTAJAM – Sindiket pengedaran dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM1.2 juta berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang menerusi serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) pada Selasa dan Rabu lalu.
Dalam operasi bermula jam 2 petang pada 9 Jun hingga 10 pagi keesokan harinya itu, polis menahan tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 33 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah sekitar Bukit Mertajam yang membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita.
“Hasil pemeriksaan di kediaman itu, polis menemui dan merampas 302 peket plastik pelbagai warna berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 8,086.80 gram.
“Anggaran nilai dadah yang dirampas adalah RM1.211 juta dan ia dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 26,956 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, susulan serbuan berkenaan, polis turut menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai rakan pasangan tersebut dan berperanan sebagai ‘runner’ di kawasan sama.
Menurutnya, hasil risikan mendapati kegiatan pengedaran dadah itu dipercayai aktif sejak April lalu.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis ketamin.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama dan ketiga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya.
Azizee berkata, pihaknya turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM215,783.20.
"Antara harta yang disita termasuk sebuah kereta jenis Honda City bernilai RM45,000, sebuah kereta Kia K2 bernilai RM35,000, 30 barangan kemas bernilai RM120,733.20 serta dua beg tangan berjenama Louis Vuitton dan Gucci bernilai RM13,000.
"Selain itu, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,050. Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM1.43 juta," katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 Jun bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan rotan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
"Kejayaan ini hasil risikan berterusan JSJN Pulau Pinang selain kerjasama daripada orang awam," katanya.




.jpg)

