
Sebuah nama lagenda yang sentiasa meniti di bibir para peminat tegar jentera Jepun kini kembali secara rasmi. Honda Malaysia hari ini mengejutkan pengunjung Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026) dengan melancarkan model generasi keenam jentera ikonik mereka, All-New Honda Prelude.
Dibangunkan di bawah konsep “Unlimited Glide”, coupe dua pintu ini telah ditransformasikan sebagai sebuah jentera grand tourer moden yang menggabungkan keseronokan pemanduan, keselesaan premium, serta praktikaliti harian.
Untuk pasaran Malaysia, All-New Prelude ditawarkan pada harga RM278,000.00 (Atas jalan tanpa insurans).
Rangkaian Kuasa 2.0L e:HEV & Debut ‘S+ Shift Technology’
Di bawah hud melengkung Prelude baharu ini, tersemat rangkaian kuasa hibrid maju 2.0L e:HEV Honda yang menghasilkan 184PS dan tork setinggi 315Nm. Gandingan ini menjanjikan pecutan yang responsif, penyampaian kuasa yang lancar, serta kecekapan bahan api yang mengagumkan.
Namun, tarikan utama jentera ini adalah pengenalan S+ Shift Technology buat pertama kalinya dalam barisan model Honda Malaysia.
Sistem hibrid pacuan motor inovatif ini berfungsi mengawal RPM enjin secara tepat ketika pecutan dan juga nyahpecutan. Ia memberikan respon pemanduan yang lebih terus serta rasa penukaran gear (shifting feel) yang lebih tajam. Pengalaman pemanduan ini dikuatkan lagi dengan sistem Active Sound Control (ASC) serta paparan visual dinamik pada Power Meter di panel instrumen.
Mod Pemanduan Boleh Laras & Casis Warisan Type R
Pemandu ditawarkan dengan tiga mod pemanduan utama yang dilaraskan bersama teknologi S+ Shift:
- Sport Mode: Meningkatkan respon pengendalian dan kestabilan untuk pemanduan dinamik.
- GT Mode: Memberikan keseimbangan premium antara keselesaan, kestabilan, dan prestasi santai untuk pemanduan jarak jauh (grand touring).
- Comfort Mode: Direka untuk perjalanan yang tenang dengan penyampaian kuasa lebih lancar dan stereng yang lebih ringan.
- Individual Mode: Membolehkan pemandu menetapkan sendiri konfigurasi kegemaran bagi trenkuasa, stereng, ampaian, paparan meter, dan bunyi enjin.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan fungsi Coasting Control Operation (pertama kali untuk model Honda) bagi membantu memperlahankan kenderaan secara lancar tanpa pemandu perlu kerap menukar kaki antara pedal brek dan pendikit.
Dari aspek pengendalian, Prelude tidak berkompromi apabila mengadaptasi teknologi casis utama daripada Civic Type R, termasuklah sistem ampaian hadapan dual-axis strut dan Adaptive Damper System. Sifat lincahnya turut dibantu oleh ciri Agile Handling Assist (AHA) untuk kestabilan maksimum di selekoh.
Rekaan Eksklusif “Gliding Cockpit”
Luaran Prelude menampilkan siluet fastback yang mengalir lancar. Antara perincian premium yang dimuatkan termasuklah gril krom hitam, lampu hadapan LED, lampu belakang LED dengan kanta merah, pemegang pintu jenis flush, serta rim aluminium 19-inci yang mengandungi angkup brek Brembo berwarna biru.
Di bahagian kabin, rekaan “Gliding Cockpit” membahagikan fungsi dengan unik di mana tempat duduk pemandu mengutamakan kawalan dinamik, manakala tempat duduk penumpang hadapan menekankan keselesaan dan kemudahan keluar-masuk.
Ianya turut dilengkapi dengan sistem audio paparan lanjutan 9-inci bersama fungsi Google Built-in, sistem audio premium Bose, serta sistem keselamatan Honda SENSING yang komprehensif. Walaupun berimej sport, ruang kargonya masih praktikal dan mampu memuatkan dua beg pakaian saiz sederhana.
All-New Prelude didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik: Winter Frost Pearl, Rallye Red, dan Crystal Black Pearl.
Berikut adalah perincian harga rasmi bagi Semenanjung Malaysia:
| Perincian Kos | Harga (RM) |
| Harga Jualan (Selling Price) | 277,173.50 |
| Cukai Jalan / Road Tax (1 Tahun) | 376.50 |
| Yuran Pendaftaran / Registration Fee | 300.00 |
| Kos Plat Nombor & Handling/Endorsement | 150.00 |
| Harga Atas Jalan Tanpa Insurans | 278,000.00 |
(Nota: Bagi pendaftaran syarikat, Yuran Pendaftaran adalah RM500 dan kadar Cukai Jalan adalah dua kali ganda).
Pembelian model ini turut disertakan dengan pakej ketenangan minda yang sangat berbaloi:
- 5 tahun waranti dengan perbatuan tanpa had.
- Servis buruh percuma sehingga 5 kali (terpakai dalam tempoh 100,000km atau 5 tahun).
- 10 tahun waranti untuk bateri Litium-ion dengan perbatuan tanpa had.
- Pilihan aksesori tambahan: Honda CONNECT Prepaid 23M (tambahan langganan 2 tahun atas talian) pada harga RM440.00.
Tempahan kini telah dibuka secara rasmi. Pelanggan yang berminat boleh melayari platform dalam talian di https://prebook.honda.com.my/, atau mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara.








The post KLIMS 2026: Honda Prelude Kembali Ke Malaysia! Enjin 2.0L e:HEV, S+ Shift Technology & Harga RM278,000 appeared first on TW Media.



