KLIMS 2026: Perodua Cipta Kejutan, Dedah Kereta Konsep EV ‘C2’

LocalCars
11 Jun 2026 • 6:30 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

KLIMS 2026: Perodua Cipta Kejutan, Dedah Kereta Konsep EV ‘C2’

image.png

Perodua sekali lagi mencuri tumpuan dunia automotif tempatan apabila secara rasmi memperkenalkan babak kedua dalam perjalanan kenderaan elektriknya (EV) di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026). 

Berbeza dengan reka bentuk konvensional, pertaruhan terbaharu Perodua kali ini mendapat sentuhan unik yang diinspirasikan daripada gaya hidup dan aspirasi generasi muda negara Generasi Alpha dan Beta.

image.pngimage.png

Dinamakan sebagai Chapter 2 (C2), kereta konsep segmen B ini bukan sekadar sebuah jentera pameran, malah ia merupakan manifestasi visi pereka muda dan berbakat Perodua dalam merangka masa depan mobiliti hijau yang lebih dinamik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata C2 diinspirasikan oleh generasi baharu Alpha dan Beta di negara ini, selain menjadi sebahagian daripada kesinambungan naratif EV jenama nasional itu.

“C2 adalah sebahagian daripada jalan cerita EV kami. Ia mengembangkan naratif buatan Malaysia untuk dunia, seiring dengan usaha kami menambah baik pengalaman mobiliti untuk pelanggan kami,” katanya.

image.pngimage.png

Untuk makluman, C2 adalah kereta konsep segmen B yang dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan AI seperti navigasi masa sebenar, lokasi stesen pengecasan, kemas kini trafik, ciri anti-curi yang dipertingkat serta bantuan parkir kenderaan.

Mengulas lanjut  mengenai C2, Zainal Abidin berkata, pihaknya turut  menggabungkan super app P-Circle ke dalam kereta konsep tersebut.

"Jadi, pelanggan boleh mendapat akses yang mudah kepada perkhidmatan yang kami tawarkan termasuklah e-wallet dan penghantaran alat ganti tulen. Kereta konsep C2 ini mewakili masa hadapan integrasi mobiliti.

Bagaimanapun, beliau mengakui C2 juga mewakili fasa baharu gaya reka bentuk Perodua yang berbeza daripada konsep EM-O terdahulu.

“Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke reruai Perodua di KLIMS 2026. Gunakan kesempatan ini untuk mencuba pelbagai tarikan yang disediakan oleh syarikat kenderaan nasional ini termasuklah robot interaktif, dron serta pameran penuh aplikasi P-Circle dan tawarannya,” tambahnya.