Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani baharu mampu atasi kesesakan HSAH

LocalHealth & Fitness
5 Oct 2026 • 3:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani baharu mampu atasi kesesakan HSAH
Dr Dzulkefly ketika menerima penyerahan rasmi Projek Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani daripada Jabatan Kerja Raya di sini pada Isnin. Foto FB Dr Dzulkefly Ahmad
Image from: Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani baharu mampu atasi kesesakan HSAH
Projek Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani baharu dibina dengan kos RM38.73 juta. Foto FB Dr Dzulkefly Ahmad

SUNGAI PETANI - Pembukaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai Petani baharu bernilai RM38.73 juta dijangka membantu mengurai kesesakan pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini terutama bagi kes ringan atau Zon Hijau.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, fasiliti itu mampu menyantuni kira-kira 500,000 penduduk sekitar Daerah Kuala Muda dengan kapasiti kedatangan sehingga 1,200 pesakit sehari.

“Pembukaan klinik berkapasiti besar ini amat kritikal dalam strategi kita mengurai kesesakan pesakit luar di HSAH. Apabila kes-kes ringan atau Zon Hijau diserap sepenuhnya ke sini, HSAH kelak boleh memberikan tumpuan optimum kepada rawatan kepakaran, kecemasan, dan trauma yang lebih kompleks,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial Facebook.

Terdahulu, beliau menerima penyerahan rasmi projek klinik berkenaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas RM398,800 bagi tujuan pembaikan, naik taraf fasiliti serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan.

Katanya, cadangan pembinaan ruang parkir bertingkat berkapasiti 150 kenderaan turut diarahkan untuk diteliti segera bagi menampung keperluan pengunjung susulan unjuran kedatangan pesakit yang tinggi.

“Menjelang operasi berfasa yang disasarkan bermula 11 Oktober ini, saya telah memberi arahan tegas agar kesiapsiagaan klinik dan tatakelola aset (termasuk aduan kerosakan di bawah Defect Liability Period) diuruskan dengan cekap tanpa kompromi.

“Kejayaan projek ini tidak diukur pada nilai jutaan ringgit atau cantiknya bangunan ini. Ia diukur pada seberapa cepat kesakitan pesakit dirawat dan setulus mana layanan yang diberikan. Biar semoden mana pun fasiliti kita, ia wajib dihidupkan dengan roh ihsan, empati, dan profesionalisme,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved