LTdL 26: Gunung Jerai cetus fenomena, wajar dikekalkan

29 Sep 2026 • 10:08 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 26: Gunung Jerai cetus fenomena, wajar dikekalkan

SUNGAI PETANI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap laluan ikonik pendakian ke puncak Gunung Jerai yang julung kali diperkenalkan pada edisi Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dapat terus dikekalkan dalam kalendar perlumbaan pada masa hadapan.

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari menyifatkan pengenalan laluan di Kedah itu
bukan sahaja memberi dimensi cabaran baharu kepada pelumba antarabangsa, malah mencetuskan fenomena dan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tempatan.

“Insya-Allah, kita harapkan semua laluan dan lokasi menarik seperti ini dapat terus dikekalkan agar keterujaan perlumbaan dapat kita rasai bersama,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Peringkat 3 LTdL (Sungai Petani–Kuala Kangsar) di Taman Jubli Perak di sini, hari ini.

Mengulas mengenai saingan edisi ke-30 yang membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer (km) itu, beliau berkata perlumbaan kali ini menampilkan keunikan tersendiri apabila menyajikan tiga zon penamat di laluan berbukit serentak iaitu di Gunung Jerai, Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan penganjuran jelajah berstatus ProSeries itu, Mohammed Taufiq mendedahkan bahawa Jemaah Menteri telah meluluskan mandat penganjuran kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Menurutnya, walaupun proses kelulusan. penganjuran edisi kali ini sedikit lewat
berbanding kebiasaan, komitmen KBS dan MSN membolehkan perlumbaan berprestij itu diuruskan dengan lancar, khususnya dalam aspek penajaan dan logistik.

“Tahun ini kelulusan agak sedikit terlambat, tetapi kita berjaya menguruskannya dengan baik bersama rakan penaja.

“Malah, kemeriahan edisi kali ini turut dimanfaatkan sepenuhnya bersama Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) bagi mempromosikan temasya serta program Jelajah Sukan SEA 2027 kepada masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan sambutan luar biasa warga Sungai Petani yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti dan komuniti setempat membanjiri tapak pelepasan seawal pagi.

Sementara itu, menyentuh perkembangan sukan semasa negara di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya, Mohammed Taufiq menzahirkan keyakinan kontinjen negara mampu melakar pencapaian lebih gemilang selepas sasaran awal menuai enam pingat emas berjaya dicapai.

“Kita sangat optimis kontinjen negara mampu melakukan yang terbaik. Sasaran enam emas sudah berada dalam tangan dan jika atlet kita mampu memecahkan rekod terbaik sembilan pingat emas sebelum ini, ia akan menjadi satu bonus yang luar biasa buat seluruh negara,” katanya.

Saingan Peringkat 3 hari ini membabitkan kayuhan sejauh 189 km dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, sebelum perlumbaan lapan peringkat itu menutup tirainya pada 4 Oktober menerusi kayuhan dari Muar ke Putrajaya. -KOSMO! ONLINE

The post LTdL 26: Gunung Jerai cetus fenomena, wajar dikekalkan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved