Lebih RM3.8 juta perkasa fasiliti kesihatan di daerah Kuala Muda

LocalHealth & Fitness
5 Oct 2026 • 9:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih RM3.8 juta perkasa fasiliti kesihatan di daerah Kuala Muda

SUNGAI PETANI – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas lebih RM3.8 juta bagi memastikan kelancaran operasi, peningkatan kualiti rawatan serta perolehan peralatan dan pembaikan segera di beberapa fasiliti kesihatan di daerah Kuala Muda.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM564,800 diperuntukkan untuk Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani yang sudah siap dan bakal beroperasi secara berfasa pada 11 Oktober ini.

“Jumlah itu merangkumi RM166,000 untuk klinik kesihatan dan RM398,800 bagi klinik pergigian di situ.

“Peruntukan tersebut adalah untuk kesiapsiagaan fasa pengoperasian awal dan peroleh aset perubatan dan sokongan tambahan menjelang pengoperasian rasmi secara berfasa pada 11 Oktober ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan rasmi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima penyerahan rasmi Projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Sungai Petani bernilai RM38.73 juta daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kata Dzulkefly, selain itu, sebanyak RM648,800 diperuntukkan untuk Pusat Darah Wilayah Utara (PDWU) bagi tujuan menampung keperluan perolehan aset, kelengkapan perubatan dan sokongan pengoperasian fasa awal sebagai hab pengurusan darah berpusat wilayah utara.

“PDWU dipilih sebagai pusat pemprosesan utama untuk menyokong Program Fraksinasi Plasma Kebangsaan. Ia merupakan kemudahan ketiga di negara ini selepas Pusat Darah Negara dan Hospital Melaka.

“Apabila beroperasi penuh nanti, ia menyasarkan pengeluaran 20,000 liter plasma setahun menjelang 2030 bagi menghasilkan ubat-ubatan berasaskan plasma tempatan,” ujarnya.

Seterusnya, peruntukan sebanyak RM2.59 juta turut disalurkan kepada HSAH bagi tujuan pembaikan dan naik taraf fasiliti melibatkan zon merah dan hijau di Jabatan Kecemasan serta penukaran lantai wad kepada jenis vinil bagi kawalan jangkitan.

“Bagi perolehan aset pula, ia merangkumi 13 aset perubatan kritikal, tujuh aset bukan perubatan dan 20 unit katil pengusung di zon merah,” jelasnya.

Beliau pada masa sama memuji inisiatif pihak HSAH dalam mengurangkan kesesakan di hospital menerusi Model Integrasi Vertikal Kluster Kedah Tengah 2026 dan ‘After Hours Clinic’ dengan kerjasama rapat antara Hospital Yan, Hospital Sik dan Pejabat kesihatan Daerah (PKD).

“Ia dilaksanakan sejak 17 Ogos lepas dengan klinik pakar dan klinik kesihatan beroperasi luar waktu pejabat bagi menyerap limpahan pesakit luar dan pesakit zon hijau dari Jabatan kecemasan HSAH.

“Doktor bertugas secara locum datang daripada hospital-hospital tersebut, hospital lain mungkin boleh contohi insiatif ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih RM3.8 juta perkasa fasiliti kesihatan di daerah Kuala Muda appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved