Klinik Kesihatan Tangkarason musnah terbakar

15 Feb 2024 • 10:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran membabitkan klinik kesihatan dan kuarters di Kampung Tangkarason, Beluran.

BELURAN - Sebuah klinik kesihatan dan juga kuarters kakitangan musnah dalam kebakaran di Kampung Tangkarason, di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 pagi dan seramai empat anggota dikejar ke lokasi.

"Kebakaran melibatkan Klinik Kesihatan Tangkarason dan kuarters jenis tidak kekal yang terletak sejauh 215 kilometer dari BBP Beluran.

"Kedua-duanya terbakar 100 peratus semasa pasukan bomba tiba di lokasi dan usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan menggunakan sumber air terbuka iaitu kolam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Edoen berkata, api hanya berjaya terkawal pada jam 6.20 pagi.

"Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat, namun maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.