liza26/11/2026 - 09:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov – Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencatatkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM118.4 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY26) meskipun keuntungan teras meningkat 29% kepada RM1.545 bilion, susulan kerugian rosot nilai bersih berjumlah RM1.61 bilion berkaitan Synthomer.
Menurut BIMB Securities, prestasi keuntungan teras KLK itu mengatasi jangkaan firma penyelidikan berkenaan sebanyak 20% dan konsensus pasaran sebanyak 16%, dengan pencapaian masing-masing sebanyak 120% dan 116% daripada unjuran.
BIMB Securities berkata kejutan positif itu disumbangkan kos operasi yang lebih rendah daripada jangkaan, manakala hasil kumpulan secara keseluruhan berada hampir sejajar dengan unjuran.
Bagi FY26, hasil KLK meningkat 10% kepada RM27.50 bilion berbanding RM25.02 bilion pada tahun sebelumnya.
Segmen perladangan pacu peningkatan keuntungan teras
Keuntungan segmen perladangan meningkat 8.6% kepada RM2.47 bilion berbanding RM2.28 bilion pada FY25, disokong jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK) lebih tinggi serta kos pengeluaran CPO yang lebih rendah.
Bagi suku keempat FY26, keuntungan teras KLK melonjak 160% kepada RM661.1 juta berbanding RM254.4 juta pada suku sebelumnya, dipacu peningkatan keuntungan segmen perladangan sebanyak 24% kepada RM819.4 juta.
BIMB Securities turut menyatakan segmen pembuatan kembali mencatatkan keuntungan RM135.5 juta bagi FY26 berbanding kerugian RM173.6 juta pada FY25, disokong pendapatan lebih baik daripada perniagaan oleokimia serta pengurangan kerugian perniagaan bukan oleokimia.
Bagaimanapun, keuntungan segmen pembuatan bagi suku keempat merosot 65% kepada RM35.3 juta berbanding suku sebelumnya akibat kerugian lebih besar daripada aktiviti penapisan dan perniagaan bukan oleokimia.
BIMB Securities naikkan unjuran keuntungan FY27
BIMB Securities menaikkan unjuran keuntungan KLK bagi FY27 sebanyak 20% kepada RM1.601 bilion susulan andaian kos operasi perladangan yang lebih rendah.
Firma penyelidikan itu berpandangan fenomena El Niño boleh menyokong kenaikan harga CPO apabila bekalan serantau menjadi lebih terhad, namun cuaca kering berpanjangan berisiko menjejaskan hasil buah tandan segar (FFB), khususnya di ladang KLK di Indonesia.
Bagi operasi hiliran, margin penapisan dan penghancuran isirung sawit dijangka terus berdepan tekanan, terutama disebabkan lebihan kapasiti penapisan.
Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan 'Pegang' terhadap KLK tetapi menaikkan harga sasaran kepada RM23 daripada RM22.70, berdasarkan gandaan harga kepada keuntungan (PER) 16 kali berbanding 19 kali sebelum ini. - DagangNews.com






