Untung suku ketiga Kawan Food belum gambarkan pemulihan berterusan – BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 11:19 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung suku ketiga Kawan Food belum gambarkan pemulihan berterusan – BIMB Securities Image from: Untung suku ketiga Kawan Food belum gambarkan pemulihan berterusan – BIMB Securities liza26/11/2026 - 11:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov – Kawan Food Berhad kembali mencatat keuntungan bersih teras RM3.9 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) namun BIMB Securities masih mengekalkan saranan ‘Jual’ berikutan pemulihan keuntungan yang belum meyakinkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi lebih baik pada suku berkenaan masih belum mencerminkan pemulihan menyeluruh memandangkan permintaan eksport terus lemah, selain tekanan kadar pertukaran mata wang asing yang menjejaskan pendapatan kumpulan.

 

BIMB Securities berkata, hasil Kawan Food meningkat 7.8% suku ke suku kepada RM54.8 juta pada 3QFY26 berbanding RM50.8 juta dalam 2QFY26, disokong sumbangan lebih baik daripada pasaran domestik dan eksport.

 

Bagaimanapun, secara tahunan hasil kumpulan merosot 7.9% berbanding RM59.5 juta dalam 3QFY25, terutama disebabkan permintaan lebih rendah di pasaran eksport utama.

 

Permintaan eksport terus lemah

Menurut BIMB Securities, hasil daripada pasaran Eropah merosot 34.2% tahun ke tahun, manakala Asia susut 14%. Pasaran domestik turut mencatat penurunan hasil sebanyak 5.3%.

 

“Keadaan itu menyebabkan prestasi keseluruhan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26) masih tertekan apabila Kawan Food mencatat kerugian bersih teras RM3.3 juta berbanding keuntungan bersih teras RM11.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Dari segi keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI), kumpulan merekodkan RM600,000 bagi 9MFY26 berbanding RM9.7 juta pada 9MFY25, iaitu penurunan sebanyak 93.5%.

 

“Bagaimanapun, prestasi 3QFY26 menunjukkan peningkatan ketara apabila keuntungan sebelum cukai berjumlah RM5.6 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM7 juta pada suku sebelumnya,” kata BIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Kawalan kos bantu pulihkan keuntungan

BIMB Securities berkata, peningkatan prestasi pada suku ketiga didorong pelaksanaan strategi jualan yang lebih baik, peningkatan realisasi hasil bersih serta kawalan lebih ketat terhadap perbelanjaan pengiklanan dan promosi.

 

Kumpulan turut mencatat EBITDA sebanyak RM11.5 juta pada 3QFY26 berbanding RM6.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala margin EBITDA meningkat kepada 21% daripada 10.6%.

 

Walaupun usaha meningkatkan pelaksanaan jualan dan kecekapan operasi mula menunjukkan hasil, BIMB Securities menjangkakan pemulihan Kawan Food kekal beransur-ansur dan bergantung kepada peningkatan berterusan permintaan eksport serta penstabilan margin keuntungan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 tanpa sebarang perubahan, dengan Kawan Food dijangka mencatat kerugian bersih RM2.1 juta pada FY26 sebelum kembali mencatat keuntungan RM13.8 juta pada FY27 dan RM17.5 juta pada FY28.

 

Kekal saranan Jual, harga sasaran RM0.54

BIMB Securities mengekalkan saranan Jual terhadap saham Kawan Food dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.54, berbanding harga saham RM0.61 ketika laporan diterbitkan, menunjukkan potensi penurunan sebanyak 11%.

 

Penilaian itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 18 kali yang digunakan terhadap anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak tiga sen.

 

Menurut BIMB Securities, pemulihan keuntungan pada 3QFY26 masih terlalu awal untuk dianggap sebagai petunjuk pemulihan berterusan, mengambil kira kelemahan pasaran eksport utama dan tekanan margin yang masih belum reda.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat tiada pemangkin jangka pendek yang mencukupi untuk mendorong penilaian semula saham Kawan Food, sekali gus mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap prospek syarikat berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved