liza25/11/2026 - 12:09 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – Keuntungan bersih teras GDB Holdings Bhd merosot 33% kepada RM46.7 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY26) susulan pengiktirafan hasil lebih perlahan ketika beberapa projek lama selesai dan projek baharu masih di peringkat awal pembinaan.
Apex Securities berkata, keadaan itu menyebabkan hasil kumpulan susut 20.3% kepada RM437.2 juta berbanding RM548.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Antara projek yang telah disiapkan ialah Metrohub 4 di Klang pada 9 Julai 2026 dan Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2026, manakala projek Wolo di Mont Kiara masih berada pada peringkat awal pembinaan.
Bagaimanapun, GDB memperoleh dua kontrak baharu bernilai keseluruhan RM1.89 bilion menerusi pembangunan ParkCity Residences bernilai RM1.017 bilion dan hab logistik Shah Alam bernilai RM877 juta.
Apex Securities berkata, kedua-dua projek yang diperoleh pada Oktober dan November itu meningkatkan buku tempahan kumpulan kepada kira-kira RM2.80 bilion, bersamaan 3.7 kali hasil FY25 dan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY31.
Namun, sumbangan hasil daripada projek berkenaan dijangka meningkat secara berperingkat mulai FY27 memandangkan kedua-duanya masih berada pada peringkat awal pembinaan.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan keuntungan GDB bagi suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) kekal lemah apabila projek Hab Logistik Plot B semakin menghampiri penyelesaian, sementara projek Wolo, ParkCity Residences dan hab logistik Shah Alam belum mencapai tahap pelaksanaan yang menyumbang hasil lebih tinggi.
Kos pentadbiran meningkat dua kali ganda
Selain pengiktirafan hasil yang lebih perlahan, peningkatan perbelanjaan pentadbiran turut memberi tekanan kepada keuntungan kumpulan.
Apex Securities berkata, perbelanjaan pentadbiran GDB meningkat 104.2% kepada RM18.8 juta bagi 9MFY26, terutama disebabkan kos kakitangan susulan pengembangan struktur kumpulan di Sarawak, Sabah dan perniagaan baharu.
Walaupun margin keuntungan kasar meningkat 1.3 mata peratusan kepada 17.7%, peningkatan kos tersebut menyebabkan keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 10% kepada RM65.1 juta.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), keuntungan bersih teras GDB merosot 57% kepada RM12.1 juta berbanding RM28.2 juta setahun sebelumnya, manakala hasil turun 43.3% kepada RM125.8 juta.
Buku tender RM3 bilion sokong prospek jangka panjang
Di sebalik tekanan prestasi semasa, Apex Securities kekal positif terhadap prospek jangka panjang GDB susulan buku tender bernilai kira-kira RM3 bilion, selain bidaan projek tambahan bernilai RM2.4 bilion yang dijangka dikemukakan menjelang suku pertama 2027.
Projek yang disasarkan merangkumi sektor infrastruktur, pusat data, komersial, kediaman, hotel dan gudang.
Firma itu turut melihat peningkatan perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2027 kepada RM83 bilion berbanding RM81 bilion pada 2026, termasuk peruntukan RM34.9 bilion untuk Sabah dan Sarawak, sebagai sokongan kepada pengembangan GDB di Sarawak.
Bagaimanapun, Apex Securities menurunkan unjuran keuntungan bersih teras GDB bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 23.9%, 18.3% dan 16.8% kepada RM58.4 juta, RM73.1 juta dan RM69.4 juta.
Susulan semakan itu, firma penyelidikan berkenaan menurunkan harga sasaran saham GDB kepada 64 sen daripada 77 sen, namun mengekalkan saranan BELI berdasarkan buku tempahan yang meningkat dan peluang pertumbuhan daripada projek baharu. - DagangNews.com






