
PASIR PUTEH – Taktik sebuah bot laut dalam nelayan asing yang diklon sebagai bot tempatan terbongkar selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seramai 14 nelayan Vietnam yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan Kelantan kira-kira 157 kilometer dari Muara Tok Bali di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 6.32 petang itu, sebuah kapal APMM menahan bot berkenaan selepas cuba lolos ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, kapal agensi itu sedang dalam pelayaran pulang selepas selesai menyertai Latihan Laut Thailand-Malaysia (Seaex Thamal) di Thailand sebelum meneruskan operasi rutin Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris di perairan Tok Bali.
Katanya, pasukan APMM mengesan sebuah bot laut dalam dengan nombor pendaftaran tempatan berada dalam keadaan mencugigakan sebelum mengarahkan vesel terbabit berhenti untuk pemeriksaan.
“Tekong bot itu bagaimanapun cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan pada kedudukan 157 kilometer ke timur Muara Tok Bali.
“Pemeriksaan mendapati, kesemua 14 nelayan termasuk tekong berusia dalam lingkungan 17 hingga 49 tahun itu merupakan warga Vietnam selain tidak memiliki lesen dan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidanh akhbar di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.
Kamal memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati, bot laut dalam itu berkenaan disyaki merupakan bot asing sebelum diklon sebagai bot tempatan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil laut melibatkan pelbagai jenis ikan berjumlah satu tan termasuk baja dan peralatan berkaitan dianggarkan bernilai lebih RM400,000.
“Siasatan awal mendapati, nombor pendaftaran bot terbabit tidak lagi sah atau telah tamat tempoh bagi bot tempatan. Kesemua nelayan asing disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 manakala kes pencerobohan dan aktiviti menangkap ikan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Klon bot laut dalam tempatan, 14 nelayan Vietnam dicekup di perairan Kelantan appeared first on Kosmo Online.




