Lee Tuck kembali warnai Liga Malaysia

LocalFootball
14 Sep 2026 • 10:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lee Tuck kembali warnai Liga Malaysia
Lee Tuck akan menyertai Kelantan City FC beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

SELEPAS hampir tiga tahun meninggalkan kancah bola sepak tempatan, pemain naturalisasi, Lee Tuck kembali mewarnai saingan Liga A1 Semi-Pro apabila menyertai Kelantan City FC.

Kepulangan pemain tengah kelahiran England itu diumumkan Presiden Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, sekali gus menambah pengalaman dalam skuad kendalian kelab Pantai Timur berkenaan.

Bukan Lee Tuck sahaja menjadi rekrut baharu apabila Annuar turut mengesahkan penyertaan bekas pemain tengah Selangor dan Negeri Sembilan, Sean Selvaraj bersama Kelantan City.

“Seramai 33 pemain termasuk Lee Tuck didaftarkan bermain untuk Kelantan City. Hari ini adalah hari terakhir pendaftaran pemain AFL (Liga Bolasepak Amatur).

“Sean Selvaraj turut menandatangani penyertaan bersama Kelantan City, tetapi pendaftarannya bermula Januari untuk memberi ruang pemulihan dan kecergasan setelah dia menjalani pembedahan ACL awal tahun ini,” katanya.

Lee Tuck pernah beraksi bersama beberapa kelab tempatan termasuk Kedah Darul Aman FC, sebelum meninggalkan saingan bola sepak Malaysia pada 2023.

Pemain berusia 38 tahun itu juga pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2017, Terengganu (2018-2020) dan Sri Pahang (2021-2022).

Kehadiran pemain berpengalaman itu dilihat mampu memberikan pilihan tambahan kepada Kelantan City yang sedang menikmati kempen Piala FA memberangsangkan musim ini.

Kelantan City mencipta kejutan pada pusingan 16 terbaik apabila menyingkirkan wakil Liga Super, Negeri Sembilan FC dengan agregat 4-3.

Cabaran skuad Pantai Timur itu bagaimanapun semakin getir di suku akhir apabila dijadualkan berdepan Kuching City FC, naib juara Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved