
JUNEAU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, Derek Parker Aghnaanga diselamatkan selepas ditemukan berlutut di atas sebuah bot yang terbalik di perairan sejuk di Laut Bering, Alaska, selama kira-kira dua hari.
Aghnaanga keluar memancing bersama abang dan sepupunya pada Jumaat lalu apabila bot mereka terbalik.
Dia akhirnya diselamatkan pada minggu lalu apabila sebuah bot nelayan menemukannya berhampiran Pulau St. Lawrence.
Bagaimanapun, mayat sepupu dan abangnya turut ditemukan dalam kejadian tersebut.
Kru-kru kapal bot nelayan berkenaan mencampakkan tali kepada budak itu dan menarik bot kecil tersebut lebih dekat sebelum Aghnaanga dapat dipindahkan ke dalam ‘bakul’ penyelamat.
Menurut remaja itu kepada anggota penyelamat, sepupunya turut berpaut pada bot yang terbalik untuk beberapa ketika tetapi tidak berjaya bertahan sehingga bantuan tiba.
Kapten bot nelayan yang datang membantunya berkata, Aghnaanga berpaut pada bot kecil itu dalam keadaan gelap dan suhu air laut sekitar 10 darjah Celsius.
“Budak ini memang sangat kental,” kata Adam White, kapten The Northwest Explorer kepada KTUU-TV di Anchorage.
“Dalam keadaan giginya menggeletar menahan kesejukan, dia memberitahu bahawa abangnya masih berada di bawah bot kecil itu.
“Kemudian dia berkata, sebelum kami menyelamatkannya, sepupunya telah terlepas daripada pegangannya,” kata White.
Pesawat dan helikopter Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mula mencari bot kecil itu selepas anggota keluarga mangsa melaporkan ketiga-tiga mereka hilang di laut. – AGENSI
The post Remaja lelaki ditemukan berlutut di atas bot terbalik di laut sejuk appeared first on Utusan Malaysia.



