sarah13/11/2026 - 11:33 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov - KMI Healthcare, anak syarikat TDM Berhad, menjadi rangkaian hospital pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan MS 1900 pada peringkat kumpulan, sekali gus mencatat pencapaian penting dalam pelaksanaan sistem pengurusan berteraskan prinsip Syariah.
Pensijilan itu memperkukuh usaha KMI Healthcare mengintegrasikan prinsip Syariah dalam pengurusan dan operasi hospital, termasuk aspek tadbir urus, penjagaan pesakit serta pengurusan sumber manusia.
Menurut kenyataan media KMI Healthcare, pensijilan itu mencerminkan usaha kumpulan menggabungkan prinsip Syariah dengan sistem pengurusan kualiti, selain memastikan pematuhan tersebut menjadi sebahagian daripada amalan harian di seluruh rangkaian hospitalnya.
Pencapaian itu turut disusuli pelancaran Buku Panduan Kawalan Kritikal Syariah (SCCP) setebal 379 halaman dalam format digital yang merangkumi lebih 245 isu berkaitan Syariah, termasuk tadbir urus, penjagaan pesakit, pengurusan sumber manusia dan operasi hospital.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, pembangunan buku panduan berkenaan dan pencapaian pensijilan MS 1900 bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi, sebaliknya bertujuan memastikan prinsip Syariah diterapkan secara menyeluruh dalam organisasi.
"Pembangunan Buku Panduan SCCP dan kejayaan memperoleh pensijilan MS 1900 bukan sekadar pencapaian dari sudut dokumentasi atau pensijilan, tetapi merupakan satu amanah untuk KMI terus membudayakan nilai-nilai Syariah dalam setiap aspek pengurusan dan operasi," katanya.
Persediaan perluas rangkaian hospital
Inisiatif itu juga menjadi sebahagian daripada persediaan strategik KMI Healthcare untuk menyeragamkan pelaksanaan pematuhan Syariah di hospital sedia ada dan projek pembangunan baharu di Bertam, Pulau Pinang; Chukai, Terengganu; serta Tunjong, Kelantan. Ketika ini, kumpulan mengendalikan lima hospital komuniti pakar di Kelana Jaya, Kuantan, Kuala Terengganu, Taman Desa dan Tawau.
Keuntungan sebelum cukai melonjak 85%
Dari segi prestasi kewangan, KMI Healthcare mencatat peningkatan hasil sebanyak 17% kepada RM307.5 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir September 2026 berbanding RM263.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan berterusan perniagaan penjagaan kesihatan kumpulan.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula melonjak 85% kepada RM24.3 juta daripada RM13.1 juta, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 42% kepada RM40 juta, disokong usaha memperkukuh kecekapan operasi dan prestasi perniagaan.- DagangNews.com


