sarah11/11/2026 - 16:52 Gambar dari Facebook OCI TerraSus Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - OCI TerraSus Sdn Bhd menjadi pelanggan industri pertama di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, yang akan menerima bekalan gas asli daripada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menerusi perjanjian jual beli gas yang dimeterai pada Rabu.
Perjanjian itu membolehkan gas asli disalurkan ke kilang OCI TerraSus bagi menyokong operasi dandang dan penjanaan wap yang diperlukan dalam proses pengeluaran syarikat berkenaan.
Menurut kenyataan OCI TerraSus, perjanjian tersebut ditandatangani oleh Presidennya, Chung Seung Yong dan Naib Presiden Kanan Aset PETROS, Victor Maiyor, dalam satu majlis di Kuching.
“Perjanjian ini menandakan pencapaian penting dalam usaha memperluas akses kepada bekalan gas asli untuk pengguna industri di Taman Perindustrian Samalaju,” menurut kenyataan itu.
Infrastruktur saluran paip sokong bekalan gas
Bekalan gas berkenaan akan disokong oleh Projek Saluran Paip Samalaju (SPL) serta projek Saluran Paip Lingkaran Taman Perindustrian Samalaju (SIPR) yang bakal dilaksanakan bagi memperkukuh rangkaian pengagihan gas di kawasan perindustrian tersebut.
Menurut syarikat itu, infrastruktur berkenaan akan membolehkan OCI TerraSus memperoleh bekalan gas asli bagi memenuhi keperluan tenaga operasinya, selain menyokong kesinambungan aktiviti pengeluaran di kilangnya.
Akses kepada gas asli juga dijangka membantu syarikat mempelbagaikan sumber tenaga dan memperkukuh daya tahan operasi dalam menghadapi perubahan keadaan bekalan tenaga.
Selain itu, penggunaan gas asli dijangka meningkatkan kecekapan serta daya saing kos dalam penghasilan wap, sekali gus menyokong kemampanan operasi syarikat untuk jangka panjang.
Pengeluar bahan mentah panel solar
OCI TerraSus merupakan anak syarikat milik penuh OCI Holdings dari Korea Selatan yang menghasilkan polisilikon gred solar berketulenan tinggi, iaitu bahan mentah penting dalam pembuatan wafer silikon dan sel fotovolta (PV) untuk panel solar.
Syarikat itu menjalankan operasi pengeluaran di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, dan perjanjian berkenaan merupakan perkembangan penting dalam usaha menyediakan akses bekalan gas asli kepada sektor perindustrian di kawasan tersebut.- DagangNews.com






