SHAH ALAM, 17 DIS: Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah) merekodkan nilai jualan sebanyak RM5 juta tahun ini, maklum pengurus besarnya.
Menurut Dato’ Mohammad Syukri Ismail, angka itu melepasi sasaran RM3 juta dan jualan dijana melalui perniagaan makanan dan minuman, peruncitan, perhotelan dan pelancongan.

“Selain itu, KoHijrah ada juga membuka pasar borong sendiri di Sijangkang. Pelbagai produk keluaran usahawan kami juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Thailand, Jepun, Korea Selatan, China, Finland, Sweden dan Turkiye.
“Tahun hadapan KoHijrah mensasarkan meraih nilai jualan pada RM10 juta. Ia menjadi satu cabaran namun kami yakin dengan semangat dan penyatuan sokongan seluruh usahawan jumlah ini mampu dicapai,” katanya.
Beliau ditemui selepas mewakili KoHijrah untuk menerima Anugerah Khas Koperasi Berinovasi Selangor yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, malam tadi.

Terhahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyampaikan Anugerah Khas Kelestarian Aktiviti Koperasi kepada Koperasi Koswip Malaysia manakala Usahawan Sabak Bernam Berhad menerima Anugerah Khas Koperasi Baru Berpontensi.
Sementara itu, Pengerusi Koswip Dato’ Khairul Walid Mohamed berkata gabungan ahli baru dan lama yang mempunyai rekod kekuatan berbakti kepada koperasi yang berusia 101 tahun itu berjaya menuai hasil jualan hingga RM20 juta tahun ini.

“Perkongsian idea membabitkan gabungan lama dan baru menjadi formula kejayaan Koswip. Kami juga aktif menggunakan media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram untuk menarik orang awam menyertai Koswip,” kongsinya.
The post KoHijrah rekod nilai jualan RM5 juta tahun ini, lepasi sasaran awal appeared first on Selangorkini.



