
Terletak di sebelah Plaza Tol Kundang Barat, Rawang, Selangor, Tow Foo Pond antara kolam bayar air tawar yang paling lama wujud di negara kita.
Kolam ini juga antara yang terawal mengamalkan konsep tangkap dan lepas, selain membenarkan pemancing menggunakan gewang dan pancing layang.
Di kala itu, semua perkara tersebut menjadi ‘taboo’ di kolam-kolam bayar yang lainnya.
Di sinilah ramai pemancing khususnya di Lembah Klang belajar menguli umpan dedak, meningkatkan kemahiran memancing masing-masing dengan bermain gewang dan pancing layang.
Jadi tidak hairanlah dahulu, di kolam inilah tempat melepak ramai ‘otai-otai’ iaitu pemancing berpengalaman mengajar ilmu pancingan mereka tidak mengira masa.
Ramai juga pemancing generasi baharu berkunjung ke sini untuk bertemu ‘sifu-sifu’ ini bagi mengorek serba sedikit ilmu memancing.
Ada pemancing ‘lama’ ini sudah pun tiada di dunia dan ada juga yang sudah pencen daripada aktiviti memancing.
Namun, ada juga yang masih menjadi residen di sini tidak jemu-jemu menghiburkan muka-muka baharu dengan pelbagai tip pancingan.
Walaupun pengunjungnya silih berganti, namun kolam ini masih utuh bertahan dengan pelbagai jenis ikan di dalamnya seperti patin, pacu, tilapia, lampam, belida, haruan, ketutu, toman malah satu ketika dahulu tapah.
Oleh kerana kolam ini sudah lama, jadi penghuninya juga bersaiz kasar dan terlebih ‘bijak’ berbanding ikan-ikan di kolam-kolam lain.
Sebab itulah cabaran memancing di kolam Tow Foo ini lebih berganda sukar dan setiap tangkapan boleh membuatkan seseorang pemancing merasa amat berpuas hati.

Toman black
Saya lebih gemar turun ke kolam ini mencari ikan toman menggunakan gewang dan sememangnya sudah lama tidak ke sana.
Perasaan rindu membuak-buak membuatkan saya kembali semula ke sini dan kebetulan berkesempatan bertemu dengan Uncle Wong, tuan punya kolam yang kelihatan sudah agak uzur, namun masih bersemangat menjaga kolam kesayangannya itu.
Sambil berbual-bual bersama Uncle Wong, saya melihat ada riak ikan toman bermain air dan paling menggembirakan ada beberapa tompokan kumpulan anak-anak toman di beberapa lokasi.
Pada saya, ia petunjuk yang amat baik dan langsung tidak menyangka populasi ikan toman di kolam ini masih terjaga.
Ini berkemungkinan, konsep tangkap dan lepas yang diamalkan sejak sekian lama membuatkan ia masih dapat bertahan, ditambah pula dengan sumber makanan berupa ikan-ikan kecil di dalam kolam.
Namun, saya dapat merasakan ikan-ikan toman di sini amat culas dan sentiasa berwaspada.
Jadi, tindakan menggewang dari tebing adalah tidak wajar kerana ikan-ikan toman itu tidak merapati tebing yang ada ramai orang sedang memancing.
Kebetulan pula, riak-riak toman naik menghirup udara banyak berlaku di tebing seberang yang tidak dapat diakses oleh pemancing.
Jalan terbaik adalah dengan mengendapnya menggunakan bot. Untuk meminimakan bunyi bising, bot didayung sahaja.
Saya berseorangan mendayung menghampiri kawasan ikan toman bermain air itu.
Saya berhenti bot agak-agak bagi mengelakkan terperanjat.
Setelah mencuba beberapa jenis gewang, saya masih gagal menggoda ikan toman di perimeter tersebut.
Kebetulan, hujan pula turun membuatkan saya berhenti sebentar di pondok pendaftaran sementara menunggu reda.
Sebaik saja hujan reda, saya mendayung semula ke tempat tadi dan kelihatan lebih banyak ikan toman menimbul. Mungkin akibat hujan, paras oksigen banyak membuat ia aktif.
Kali ini, saya menggunakan gewang soft plastic Gladius warna putih saiz 12 sentimeter.
Menggunakan pendekatan karauan perlahan diselang-selikan dengan henjutan pendek dan pantas pada hujung joran, akhirnya ia disergap rakus.
Ikan toman itu sungguh ganas merentap keluar tali dari kekili dan menuju ke dalam semak di tebing. Dasar kolam pula tidaklah sedalam mana, jadi setiap benaman dirasai dengan padu di joran.
Setelah berhempas pulas berseorangan, akhirnya ia berjaya ditarik ke sisi bot, patutlah tenaganya kuat semacam, rupa-rupa ia toman ‘black’ yang sememang terkenal dengan tenaga kuat.
Ia dinaikkan ke dalam bot untuk ditimbang, bergambar dan terus dilepaskan semula.
Toman black itu sememangnya memeranjatkan sesi pancingan saya.
Namun yang menjadi bonus, kelihatan di sana sini banyak tompokan kumpulan anak-anak toman yang masih ada induknya menjaga dengan ketat.
Malangnya, setiap kali gewang dihantar ke kumpulan anak-anak toman itu, langsung tidak dihiraukan.
Malah ada kala, induk hanya ‘mengutis’ gewang seolah menghalau.
Saya merasakan, mungkin kerana kekerapan pemancing yang cuba mendapatkannya menyebabkan ia menjadi amat culas.
Saya berharap, anak-anak toman itu boleh bertahan di dalam kolam ini kerana di dalamnya terdapat banyak lagi ikan pemangsa lain yang ganas.
Sejak itu, saya kerap turun ke kolam ini mencari toman dan ada ketika berjaya dan ada masa pula kosong.
Namun Uncle Wong sentiasa menemani dengan cerita dan pengalamannya yang tidak kehabisan untuk dikongsi bersama.
The post Kolam legenda Tow Foo masih ‘bernyawa’ appeared first on Kosmo Online.






