
KUCHING, 23 OGOS: Komitmen tinggi dalam latihan memacu kejayaan pasukan bola sepak wanita Selangor meraih pingat emas pada penyertaan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.
Jurulatihnya Osmera Omaro berkata kemenangan 3-1 ke atas Sabah dalam perlawanan akhir petang tadi mencipta sejarah baharu buat arena bola sepak Selangor memandangkan ini adalah penganjuran sulung kategori wanita di temasya itu.
“Tahniah kepada pemain, mereka bagi komitmen tinggi, harap ini adalah permulaan bagi kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

“Kita baharu saja bermula Februari lalu dengan memberikan peluang kepada pemain muda.
“Harapan daripada penyokong Selangor adalah untuk mendapatkan lebih banyak kejayaan, namun bola sepak lelaki tidak bernasib baik pada SUKMA kali ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas perlawanan akhir di Stadium Negeri hari ini.
Sementara itu, Kapten Selangor Nur Ainsyah Murad meluahkan rasa bangga dapat mengemudi pasukan hingga meraih pingat emas.
“Walaupun baru berusia 21 tahun dan masih kurang pengalaman memandangkan baru dua tahun berjinak dalam bola sepak, saya bersyukur diberi kepercayaan memakai lilitan kapten pasukan.
“Pemain senior dalam pasukan banyak membantu saya mengatasi cabaran yang dihadapi sepanjang kejohanan,” kongsinya.
The post Komitmen tinggi dalam latihan pacu kejayaan bola sepak wanita Selangor di SUKMA Sarawak appeared first on Selangorkini.

