Pada awal tahun ini, salah satu komputer riba baru yang diperkenalkan oleh ASUS sewaktu acara CES 2026 ialah komputer riba ASUS ProArt PX13 GoPro Edition. Komputer riba ini nampaknya sudahpun tiba ke pasaran tempatan dengan cepat sekali, menurut ASUS Malaysia.
Komputer riba ini hadir dengan skrin sesentuh 13.3 inci OLED 3K ASUS Lumina dan turut menyokong stylus serta ASUS DialPad bagi memudahkan proses suntingan video. Skrin boleh diputarkan 360 darjah untuk menggunakan komputer riba seperti sebuah tablet.

Ini dipadankan pula dengan AMD Ryzen AI Max+ 395, memori 128GB LPDDR5X RAM, storan 1 TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD, dan bateri 73 Wh (4 sel). Pilihan I/O pula adalah 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A (10Gbps), 2x USB 4.0 Gen 3 Type-C (40Gbps), 1x HDMI 2.1 FRL, 1x bicu audio 3.5mm dan pembaca kad microSD 4.0. Kesemuanya dimasukkan ke dalam kerangka setebal 15.8mm, hanya seberat 1.39 kilogram dan melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD-810H.
Keunikan model GoPro Edition hadir melalui butang khas GoPro Hotkey yang apabila ditekan akan mengakses ciri GoPro Cloud atau GoPro Player. Menerusi sokongan StoryCube pula, kandungan video daripada kamera dapat dipindahkan dengan mudah ke komputer riba untuk melakukan suntingan.

Satu lagi ciri unik ialah ASUS ProArt GoPro Edition hadir dengan tempat simpanan tahan lasak yang melepasi piawaian MIL-STD-810H. Busa dalam tempat simpanan ini memastikan komputer riba kekal selamat walaupun ia jatuh terhentak.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa ASUS ProArt PX13 GoPro Edition ini akan mula dijual secara eksklusif di kedai atas-talian ASUS e-Store pada harga RM14,999. 10 pembelian terawal akan menerima berkas GoPro yang termasuklah sebuah kamera aksi GoPro Hero yang bernilai RM999.


